Tuesday 7 September 2021

Perhentian Keretapi Penak

Keretapi merupakan satu jenis pengangkutan yang amat penting suatu masa dahulu. Maka sebab itu, tidak hairanlah mengapa terdapat banyak stesen dan perhentian keretapi dibina oleh pihak pengurusan keretapi demi untuk memberi kemudahan pengangkutan kepada rakyat. Sistem jalanraya tidak begitu baik manakala jumlah kenderaan seperti kereta, lori atau bas amat berkurangan sekali.

Aku ingin membawa kalian semua untuk mengenali PERHENTIAN PENAK yang terletak dalam Negeri Johor.

Perhentian ini terletak di TT 392/15 di antara Stesen Lenek (di utara) dan Stesen Bekok (di sebelah selatan). 

Gambar oleh Benny Tan Beng Tat sewaktu beliau membuat tinjauan kawasan pada tahun 2016 dan 2017

Satu lagi gambar oleh Benny yang menunjukkan jarak dalam Tiang Telegraf (TT).

Ianya dibuka kepada penumpang pada 27 April 1937 dan hanya keretapi tempatan yang beroperasi bagi sektor Gemas - Singapura - Gemas yang berhenti di perhentian ini.  

Sumber dari Arkib Negara Malaysia

Sungguhpun begitu, penggunaan perhentian ini dipercayai tidak lama kerana tiada tercatat di dalam peta FMSR Tahun 1943 mahupun dalam Jadual Waktu Kerja Tahun 1947.

Peta FMSR Tahun 1943

Jadual Waktu Kerja Tahun 1947

Sungguhpun begitu, terdapat satu keratan akhbar yang menyiarkan tentang berita berkaitan dengan perhentian ini. Aku tidak pastikan samada semasa kejadian, perhentian masih digunakan atau telah ditinggalkan begitu sahaja.

Menurut Saudara Benny sewaktu membuat tinjauan, beliau tidak menemui sebarang tanda atau kesan wujudnya perhentian. Malah tiada sesiapa yang boleh beliau temui untuk ditemubual bertanyakan tentang kewujudan perhentian ini.

Keadaan sekitar perhentian kini bertukar menjadi kawasan hutan - Benny

Walaupun penggunaan perhentian ini amat singkat, tetapi ianya membawa banyak kebaikan kepada penduduk di sekitarnya.

Laluan keretapi dekat Perhentian Penak - Benny.

Kini semuanya sudah berubah dengan terbinanya landasan berkembar elektrik yang menghubungkan antara Gemas dengan JB Sentral. Kesan-kesan sejarah terus pupus kerana ianya tidak dipedulikan oleh sesiapa. Hanya peminat-peminat keretapi seperti Saudara Benny dan lainnya di Kelab Peminat Keretapi Malaysia yang sudi untuk mengabadikan peninggalan lama seperti ini.

Terima kasih kepada:

1. Saudara Benny Tan Beng Tat atas gambar-gambar sumbangan beliau.

2. Arkib Negara Malaysia.

3. National Library Board of Singapore.

Sehingga berjumpa pada lain kesempatan.