Benarlah kata ramai orang, bukan senang nak senang tapi bukan susah nak susah.
Itulah yang aku lalui hari ini. Awal pagi aku dah naik LRT menuju ke Sentral KL. Setibanya aku di Kaunter KTM Komuter, aku minta Pas Harian. Dengan penuh sopan dan senyuman, petugas itu memaklumkan bahawa dah lama Pas Harian ditamatkan penjualannya. Beliau menawarkan tiket pergi balik untuk aku gunakan ke Seremban. Tapi aku menolak dengan alasan aku dah punyai Kad 'Touch N Go'.
Di belakang aku ada sepasang wargamas yang aku kira selalu menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Pasangan ini minta dua keping tiket RM1 kerana hari ini adalah 1HB. Untuk pengetahuan kalian, KTM Komuter ada menawarkan tiket ke mana-mana destinasi dengan harga cuma RM 1 kepada wargamas, golongan OKU dan anak-anak yang memakai pakaian seragam sekolah. Malang sungguh pasangan itu kerana Tiket RM1 Setiap 1HB itu pun telah ditamatkan penjualannya.
Puas aku menoleh kiri dan kanan aku kalau - kalau ada notis atau poster yang memaklumkan tentang pembatalan beberapa promosi oleh KTM Komuter. Cuma yang aku terpandang hanyalah sekeping poster yang memaklumkan tentang perkhidmatan tambahan tren komuter sempena Tahun Baru 2012.
Habis tu, apa yang ada sekarang di KTM Komuter? Entahlah, aku sendiri kurang periksa sebab aku bukan suka nak cari kesalahan orang cuma aku terkilan kerana tiada makluman tentang tiadanya Pas Harian dan Tiket RM1 Setiap 1HB.
Pihak - pihak yang berkenaan tolong ambil maklum. Apa terjadi kalau pengguna yang memerlukan Pas Harian atau Tiket RM 1 Setiap 1HB itu wargamas atau wanita yang membawa anak? Tentu menyusahkan mereka. Bila dah menyusahkan mereka, pastinya mereka akan menjauhkan diri dari menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Jika dah ramai tak mahu menggunakan perkhidmatan KTM Komuter, siapa yang harus disalahkan?
Bukan senang nak senang, tapi bila dah senang jangan lupa kepada insan - insan yang menyokong anda selama ini.....
No comments:
Post a Comment