Aku
dan rakan-rakan bangun awal pagi ini kerana mengikuti jadual, kami akan melawat
ke Pulau Havelock dengan menaiki bot. Tepat jam 6 pagi, kami sudah pun sampai
di tempat untuk berlepas. Bot pun dah sedia menanti. Hanya menunggu masa untuk
berangkat. Khabarnya perjalanan dengan menggunakan bot dari Port Blair ke Pulau
Havelock mengambil masa lebih kurang dua jam.
Setika selepas bot berlepas dari jeti, kami diberikan sekotak air minuman dan
sepiring kuih sebagai pengalas perut. Air mineral juga disediakan.
Walau bagaimanapun tidak lama selepas itu, juragan bot
memaklumkan bahawa lawatan terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk. Memang sejak
dari semalam lagi, cuaca di Port Blair ini hujan. Awal pagi ini juga aku terasa
hujan gerimis turun sewaktu dalam perjalanan dari tempat penginapan menuju ke
tempat menunggu bot.
Mahu tak mahu, kami terpaksa pulang semula ke tempat
penginapan dengan perasaan hampa. Aku tak kisah apa pun kerana aku ada
rancangan lain…
Lebih kurang jam 11 pagi selepas makan tengahari, aku
bergerak ke Bandaraya Port Blair. Sebuah bas telah disediakan untuk membawa
rombongan kami ke sana. Kelihatan berbagai jenis kenderaan di sini sama seperti
yang ada di tempat kita. Tetapi bagi mereka yang ingin cepat sampai ke tempat
yang dituju, motosikal roda tiga ini pasti menjadi pilihan. Selain daripada
tambangnya yang agak murah, motosikal jenis ini mudah menyelit – nyelit dalam
kesesakan.
Keadaan rumah kedai yang agak usang boleh kelihatan dengan
banyaknya di sepanjang perjalanan.
Perkhidmatan
bas yang terdapat di sini boleh dikira memenuhi permintaan penduduk tempatan kerana
dari apa yang aku lihat, semua bas penuh sesak dengan penumpang.
Hampir
di semua persimpangan ditempatkan sebuah pondok untuk pengawal lalulintas. Yang
menariknya, kaum wanita yang diberi tugas untuk mengawal lalulintas di sini.
Oleh
kerana semalam aku tak sempat untuk menukar wang, hari ini aku singgah di
sebuah bank yang popular untuk mencari matawang rupee. Untuk pengetahuan
kalian, RM1 adalah bersamaan RS 15 jika urusniaga penukaran wang dilakukan di
bank. Tetapi jika kalian tukar wang di tempat pengurup wang nilai tukaran akan
menjadi RM1 bersamaan RS 12 sahaja.
Sesudah
menukar wang, aku berjalan kaki sendiri menjelajah sekitar ibukota yang berdebu
dan penuh dengan tahi lembu ini. Berhampiran dengan kompleks sukan (Stadium
Netaji Subhash), kelihatan sebuah tugu yang terletak di tengah-tengah jalan.
Tugu ini adalah Tugu Peringatan Dr Shyama Prasad Mukherjee, seorang tokoh
politik India.
Kemudian
aku terjumpa dengan perkampungan orang Islam dengan sebuah masjid yang indah.
Hampir keseluruhan masjid ini berwarna putih termasuk kubahnya sekali.
Selain
penggunaan lori atau van, basikal roda tiga ini juga digunakan untuk mengangkut
barang-barang. Lihatlah betapa seronoknya tiga pemuda ini membawa pelbagai
jenis barangan bersama basikal roda tiga yang kini sudah jarang kelihatan di
negara kita.
Ini
pula sebuah lagi tugu peringatan yang sebetulnya aku lupa nak catatkan untuk apa
ianya didirikan. Tugu ini berupa seakan sebuah menara tinggi yang pada tiap
dindingnya diletakkan sebuah jam besar yang masih berfungsi. Tugu ini terletak
di bulatan jalanraya berhampiran dengan pusat belibelah Bazar Aberdeen.
Bercakap pasal Bazar Abeerdeen ini, kalau kalian nak beli barang, elok
tengok-tengok sama harga di kedai yang lain. Jika kalian fasih berbahasa Hindi
atau Tamil, kalian boleh membeli apa saja barangan dengan harga yang murah….
dapat potongan diskaun lagi!
Berhadapan
dengan Bank Pusat India, tidak jauh dari Stesen Bas Port Blair kelihatan sebuah
lagi tugu peringatan iaitu Tugu Peringatan Mathma Gandhi. Tugu ini juga
terletak di kawasan bulatan jalanraya di tengah-tengah Port Blair.
Di sebelah malamnya, aku sekadar pusing-pusing melihat
betapa sibuknya gerai-gerai yang dihiasi dengan lampu dikunjungi oleh ramai
orang. Ada juga yang menjual
bunga – bunga hiasan di kaki lima sepanjang lorong atau jalan kecil terutama
jalan menuju ke kuil Hindu atau Sikh.
Kedai
– kedai akan terus dibuka sehingga jam 10 malam (bersamaan jam 12.30
tengahmalam waktu di Malaysia).
Setelah penat makan angin, kami pun bergerak pulang ke tempat penginapan. Dalam perjalanan sementara
sampai di rumah, aku lihat ramai yang sempat melelapkan mata… penat
agaknya masa merayau – rayau di sekitar Port Blair tadi.....
Akan
aku sambung lagi catatan di Port Blair ini kemudian... Tunggu......
No comments:
Post a Comment