(Sumber: JAKIM)
(sekadar mengisi masa lapang dan menyebarkan maklumat kepada orang yang ingin ambil tahu......)
Monday, 9 August 2021
DOA PENGHUJUNG UMUR YANG BAIK
Saturday, 31 July 2021
Padamu Jua
PADAMU JUA
Bersaksikan alam terbentang
Bersaksikan bulan dan bintang-bintang
Gunung-ganang lautan luas
Ajaib cintamu tiada terbatas
Malam sepi siang ku berseri
Tiap detik cahaya mu menyinari
Degup jantung seiring waktu
Debar menunggu saat indah denganmu
Telah berkali ku terleka
Dibuai mimpi indah
Berkali ku kecewa
Hilang arah pulang padamu jua
Sembilan lautan telah ku redah
Cintamu jua berharga
Bersaksikan alam terbentang
Bersaksikan bulan dan bintang-bintang
Degup jantung seiring waktu
Debar menunggu saat indah denganmu
Friday, 30 July 2021
Laluan Keretapi Cawangan Kuala Selangor
Salam Sejahtera dan apa khabar semuanya? Musim sekarang ni kita semua sedang berperang menentang Covid 19. Aku sarankan kalian semua untuk duduk di rumah sekiranya tiada apa-apa keperluan untuk keluar rumah. Jika hendak berbelanja membeli barangan keperluan dapur, carilah hari dan masa yang sesuai untuk kalian membeli belah.
Hari ini aku nak menulis tentang salah satu laluan keretapi yang pernah wujud dalam Negeri Selangor iaitu laluan keretapi dari Padang Jawa ke Kuala Selangor yang juga dikenali sebagai Landasan Cawangan Kuala Selangor (Kuala Selangor Branch Line).
Seingat aku, sebelum ini aku pernah menyiarkan satu hantaran berkaitan dengan laluan keretapi ke Kuala Selangor. Malangnya aku sendiri tidak menyangka bahawa hantaran itu 'hilang' walaupun ramai yang menulis tentang landasan Kuala Selangor memberi kredit atau penghargaan kepada blog ini. Mungkin ada kesilapan di mana-mana atau ianya telah dengan tidak sengaja aku terpadam atau apa-apa saja yang boleh berlaku.
Oleh yang demikian, aku hantar semula sebahagian daripada cerita berkaitan dengan landasan Kuala Selangor ini. Banyak juga hantaran atau video yang menceritakan tentang landasan ini dan aku ambil apa-apa fakta yang aku rasa perlu untuk dikongsi bersama.
Terima kasih kepada pemilik link di bawah ini kerana sudi berkongsi cerita tentang landasan ke Kuala Selangor:
b. RIDING TALES
c. Video oleh JENUT TN
Selain daripada itu, aku juga banyak mendapat maklumat tentang laluan ini daripada Arkib Negara Malaysia (http://ofa.arkib.gov.my/portal/index.php/en/), Lembaga Perpustakaan Kebangsaan Singapura (https://eresources.nlb.gov.sg/main), keratan laporan tahunan FMSR dan majalah-majalah / buku-buku lama.
Kuala Selangor ada sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 41 kilometer atau 30 batu dari Bandar Klang. Ianya boleh dikatakan terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Bandar Klang dengan Bandar Teluk Anson. Pekerjaan utama penduduk di sini adalah menoreh getah, bertani, nelayan dan menjadi kakitangan kerajaan serta swasta.
Kalian boleh merujuk kepada dua keratan akhbar di bawah untuk awal mula perancangan dan pembinaan landasan ke Kuala Selangor ini.
Landasan keretapi ke Kuala Selangor ini mula dibina dalam tahun 1911 dan pada 1 Februari 1913 laluan dari Simpang Jambatan Connought ke Kapar telah dibuka. Panjang landasan ini adalah sejauh 11 batu dan 62 rantai.
Pada 1 Jun tahun yang sama, laluan telah dipanjangkan lagi sejauh 7 batu dan 63 rantai ke Pekan Jeram. Manakala pada 1 September pula, sambungan landasan sejauh 5 batu dan 47 rantai telah sampai di Assam Jawa. Keretapi telah sampai di Kuala Selangor pada 15 Februari 1914 iaitu bagi jarak 4 batu dan 36 rantai dari Assam Jawa.
Hasil dagangan yang kerap diangkut dengan menggunakan perkhidmatan keretapi adalah getah, kopi, barangan makanan, barangan binaan, jentera berat dan bungkusan (parcel) serta surat.
Mari kita jelajah satu per satu stesen dan perhentian yang ada di sepanjang laluan ini.
Bermula dengan Stesen Simpang Jambatan Connaught atau Connaught Bridge Junction Station. Stesen ini adalah penyambung laluan Kuala Selangor dengan landasan laluan ke Pelabuhan Klang dan ke Kuala Lumpur. Jika dilihat dari dalam peta, seolah-olah stesen keretapi ini terletak dalam satu segi tiga yang terbina hasil dari laluan Padang Jawa - Klang Utara, Padang Jawa - Klang dan Klang Utara - Klang.
Dua batu ke arah utara selepas Simpang Jambatan Connaught adalah stesen Klang North. Stesen ini penting kerana barang dagangan dipunggah masuk dari tongkang yang berlabuh di sungai berhampiran.
Kemudian kita akan temui Perhentian Sungei Putus yang terletak hampir dua batu jaraknya dari Stesen Klang North. Perhentian ini tidak bertahan lama kerana ditutup disebabkan oleh kekurangan penumpang. Namun begitu, sebuah perhentian baru dibina di sebuah penempatan yang dikelilingi oleh ladang-ladang getah. Perhentian ini diberi nama Perhentian Rantau Panjang.
Satu batu ke utara Perhentian Rantau Panjang adalah Perhentian Parit Chabang. Perhentian ini ramai penduduk yang memunggah masuk gambir untuk dibawa ke Pelabuhan Kuala Selangor.
Seterusnya adalah Stesen Vallambrosa. Ianya terletak satu batu dari Perhentian Parit Chabang. Stesen ini penting untuk pengusaha ladang kopi dan getah yang terletak berhampiran dengan stesen. Di stesen ini juga terdapat perkhidmatan telegraf dan perkhidmatan pos untuk pengiriman surat dan bungkusan.
Perhentian seterusnya Perhentian Sungei Perepat. Tidak ada banyak maklumat yang diperolehi tentang perhentian ini.
Begitu juga dengan perhentian seterusnya iaitu Perhentian Kapar Ilir yang terletak satu setengah batu dari Perhentian Sungei Perepat. Tidak banyak yang diketahui tentang perhentian ini yang dibina berhampiran kawasan sawah padi.
Satu batu dari perhentian ini adalah Stesen Kapar. Dikhabarkan bahawa stesen ini adalah sebuah stesen yang agak penting. Di sinilah lokomotif wap mengisi air untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Selangor atau untuk ke Simpang Jambatan Connaught.
Pada masa itu, Pekan Kapar adalah sebuah pekan besar dalam daerah Kuala Selangor. Banyak ladang getah dibangunkan di sebelah timur dan terdapat kawasan sawah padi di sebelah barat. Pekan ini membangun depat begitu pesat sekali dan dengan pengaruh dari pengurus-pengurus ladang, jalanraya mula dibina menghubungkan Pekan Kapar dengan Bandar Klang di selatan dan Pekan Kuala Selangor di utara.
Melepasi Stesen Kapar, laluan keretapi akan melalui beberapa perhentian seperti Perhentian Sungai Pulau (12½ batu dari Simpang Jambatan Connaught (SJC)), Perhentian Jalan Acob (13 batu dari SJC) dan Perhentian Sungai Serdang (14 batu dari SJC) sebelum tiba di Stesen Suara atau Stesen Bunyi.
Stesen Suara atau Stesen Bunyi ini mempunyai misterinya yang tersendiri. Ada peta menulisnya sebagai Stesen Suara dan ada juga peta yang menulis sebagai Bunyi. Walau apa pun namanya, ianya terletak di tempat yang sama. Ianya sebuah pekan kecil untuk ladang-ladang getah berhampiran dan juga penghuni kampung-kampung nelayan mendapatkan barangan keperluan harian. Stesen ini terletak 15½ dari SJC.
Selepas Stesen Suara/Bunyi laluan keretapi akan melalui Perhentian Sungai Sembilan (kira-kira 17¾ batu dari SJC) sebelum tiba di Stesen Jeram (kira-kira 19½ dari SJC). Dikatakan bahawa masih ada lagi peninggalan tapak Stesen Jeram ini berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Jeram. Boleh rujuk kepada rakaman video saudara Jenut TN seperti yang telah aku maklumkan di awal tadi.
Seperti pekan-pekan yang lain, Pekan Jeram juga adalah tempat untuk penduduk sekitarnya untuk mendapatkan barangan keperluan harian. Di sebelah timur Pekan Jeram adalah kawasan ladang getah manakala di sebelah baratnya pula adalah perkampungan orang Melayu dan juga perkampungan nelayan.
Tidak jauh dari Stesen Jeram ini adalah Stesen Raja Abdullah (kira-kira 21 batu dari SJC).
Pentingnya Stesen Raja Abdullah ini adalah kerana ianya menjadi tumpuan kepada pekerja-pekerja lombong Kuari Bukit Jeram yang terletak tidak jauh dari kampung ini.
Stesen berikutnya adalah Stesen Sasaran yang terletak kira-kira 22¼ batu dari SJC. Stesen ini terletak di sebelah timur Pekan Sungai Buloh, Kuala Selangor.
Laluan keretapi kemudiannya melalui Jambatan Kampung Pasir Tuntung, Perhentian Bukit Changkot ( 24¼ dari SJC) sebelum tiba di Stesen Assam Jawa di kedudukan 25¼ batu dari SJC.
Melepasi Perhentian Jalan Banjar adalah Stesen Teluk Piai (28¼ batu dari SJC), Stesen ini banyak mengendalikan getah cari (latex) yang diperolehi dari Ladang Getah Teluk Piah untuk dihantar ke Pelabuhan Klang. Ada satu cabang landasan dibina oleh pengusaha ladang terus ke tempat pengumpulan susu getah.
Demikianlah serba sedikit sejarah Laluan Keretapi Kuala Selangor. Terima kasih tak terhingga kepada semua yang telah menyumbang kepada penghantaran ini. Harap maaf sekiranya terdapat kesilapan dan harap kalian dapat menegur jika ada apa-apa yang tidak kena atau tidak betul.
Jumpa lagi pada lain kesempatan.
Friday, 16 July 2021
Jauh Di Mata
Jauh Di Mata
Tiada pernah kita berjumpa
Dikau pergi entah ke mana
Duhai kasihku nan setia
Masa kita berada di rantau
Irama senandung anak dara
Itu nyanyian kita berdua
Tiada hati dirundung duka
Kita bersenda gurau di pantai
Riang ria gembira
Dengan cahya sinaran rembulan
Itu semua pengalaman
Kenangan waktu hidup bersama
Dikau kini jauh di mata
Jangan lupa khabar berita....
Monday, 12 July 2021
Saturday, 3 July 2021
Sejarah Laluan Keretapi Port Weld - Taiping (sambungan)
Sejarah Laluan Keretapi Port Weld – Taiping
Lanjutan daripada artikel yang bertajuk 'Sejarah Pembukaan Landasan Port Weld' yang telah disiarkan pada 7 Mac 2011.
|
Miles |
TP |
17. PORT WELD BRANCH LINE |
|
|
|
0 |
0/0 |
Taiping Station |
|
|
0m75ch |
0/19 |
Tekka Taiping Siding |
|
|
0m76ch |
0/20 |
Taiping Tin Dredging Company Siding |
|
|
1m5ch |
|
Taiping Consolidated Siding |
|
|
Simpang Station Level Crossing (within station limit) |
||
|
|
2½ |
|
Simpang Station |
|
|
3m53ch |
|
Jebong Siding |
|
|
5 |
|
Matang Road Halt |
|
|
7½ |
7/6 |
Port
Weld Station |
Sejak daripada tarikh itu (7 Mac 2011), pelbagai penemuan berkaitan dengan landasan Port Weld – Taiping ini telah ditemui. Aku telah beberapa kali berkunjung ke Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur dan Perpustakaan Akademi KTMB yang terletak di Batu Gajah, Perak dalam usaha untuk mendapatkan apa-apa maklumat tentang keretapi di masa dahulu. Aku mengambil sedikit masa untuk menyemak bahan-bahan yang diperolehi sebelum membuat catatan berkaitan dengan apa yang ada di sepanjang landasan dari Taiping ke Port Weld tu.
Sebelum aku menulis dengan panjang lebar, aku ingin ceritakan sedikit tentang sejarah landasan ini.
Peta laluan keretapi yang lurus dari Taiping ke Port Weld.
Antara hasil perlombongan yang terdapat di Larut.
Apabila landasan antara Tapah Road – Teluk Anson dibuka dalam tahun 1895, dagangan Pelabuhan Port Weld mengalami kemerosotan. Tahun 1896 menyaksikan nilai import di Port Weld sekadar $ 876,000 berbanding nilai impot di Pelabuhan Teluk Anson sebanyak $ 1,120,000.
Menjelang tahun 1898, Pelabuhan Teluk Anson telah menjadi pelabuhan utama di Perak menggantikan Pelabuhan Port Weld. Banyak syarikat perkapalan telah menghentikan operasi di Port Weld. Perkhidmatan keretapi Port Weld – Taiping – Port Weld telah dikurangkan bagi mengurangkan kos operasi.
Jadual Perjalanan Tren Tahun 1927
Jadual Perjalanan Tren Tahun 1947.
Okay... sekarang kita mulakan perjalanan menuju ke Port Weld.
Kemudahan yang ada di Stesen Taiping dan Stesen Port Weld pada tahun 1963.
Menghala sedikit ke arah Barat kita akan temui Sisian Tekka Taiping. Sisian ini terletak di sebelah kanan landasan arah ke Port Weld kira-kira 75 rantai dari Stesen Taiping.. Tekka Taiping Dredging adalah sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah. Lombong syarikat ini terletak berhampiran dengan landasan keretapi. Terdapat rangkaian keretapi ringan yang menghubungkan kawasan perlombongan dengan landasan keretapi bagi memudahkan penghantaran hasil perlombongan ke Port Weld.
Tidak jauh dari Sisian Tekka Taiping adalah Sisian Taiping Tin Dredging Company. Sisian ini terletak di sebelah kiri landasan arah ke Port Weld kira-kira 76 rantai dari Stesen Taiping (jaraknya cuma 1 (satu) rantai dari Sisian Tekka Taiping). Sama seperti Tekka Taiping, syarikat Taiping Tin ini juga menjalankan aktiviti perlombongan. Satu rangkaian keretapi ringan juga telah dibina untuk disambungkan dengan landasan keretapi bagi memudahkan penghantaran hasil perlombongan ke pelabuhan Port Weld.
Berkedudukan 1 batu 5 rantai dari Stesen Taiping adalah Sisian Taiping Consolidated (sekarang ini dikenali sebagai YTL Land & Development Berhad). Tidak banyak maklumat yang diperolehi berkenaan dengan sisian ini kerana ianya dibuka untuk satu waktu yang agak singkat.
Kira-kira dua batu setengah dari Stesen Taiping adalah Stesen Simpang. Nama SIMPANG diambil daripada kedudukan pekan yang mana landasan keretapi dan jalanraya bersilang. Pekan Simpang adalah sebuah pekan tempat penduduk kampung dan ladang sekitarnya untuk mendapatkan keperluan harian. Boleh dikatakan semua keretapi penumpang laluan Taiping – Port Weld – Taiping berhenti di stesen ini.
Sungguhpun begitu, oleh kerana pertumbuhan yang pesat bermula dari Taiping telah melihatkan sistem jalanraya bertambah baik. Kenderaan persendirian semakin bertambah dan menyebabkan kurangnya orang ramai menggunakan perkhidmatan keretapi. Dengan menggunakan kenderaan sendiri, orang ramai boleh ke Bandar taiping atau Pekan Port Weld pada bila-bila masa sedangkan jika ingin menaiki keretapi, perlulah mengikut jadual perjalanan tren yang telah ditetapkan. Jarak antara Taiping dan Port Weld menggunakan jalanraya.
Akhirnya Stesen Simpang dituruntaraf menjadi sebuah perhentian pada 1 Januari 1924 sebelum ditutup sepenuhnya beberapa tahun kemudian.
Antara peninggallan keretapi yang masih boleh dilihat adalah tiang telegraf yang terletak dalam kawasan Pekan Aulong. Gambar kredit kepada https://museumvolunteersjmm.com/2020/09/27/all-because-of-tin/
Selepas Stesen Simpang, kira-kira pada kedudukan 3 batu 53 rantai dari Stesen Taiping adalah Sisian Jebong yang terletak di sebelah kiri landasan arah ke Port Weld.
Kira – kira liima batu dari Stesen Taiping adalah Perhentian Matang Road. Ada banyak penerbitan yang menyatakan bahawa Matang Road itu adalah sebuah stesen. Tetapi aku tidak menjumpai fakta yang menunjukkan wujudnya sebuah stesen yang dikenali sebagai Stesen Matang Road. Banyak juga rujukan yang aku buat sekadar menunjukkan ianya sebuah perhentian. Mungkin kalian di luar sana mempunyai maklumat tentang benarnya Perhentian Matang Road ini adalah sebuah stesen.
Keratan akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, bertajuk European's 54 Years In Malaya yang disiarkan pada 25 April 1939, Mukasurat 7 menulis:
Perhentian Matang Road ini pada asalnya berfungsi untuk orang ramai terutamanya pekerja pejabat dan anak-anak yang bersekolah samada di Port Weld atau Taiping. Pihak FMSR telah memberikan potongan harga tiket istimewa untuk seminggu atau sebulan kepada orang ramai untuk menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan keretapi.
Di sepanjang laluan antara Matang Road dan
Port Weld, pada masa dahulu dipenuhi dengan hutan dan sedikit ladang getah. Malah pada hari ini masih kelihatan kawasan paya bakau di berhampiran bekas landasan.
Akhirnya kita tiba di Stesen Port Weld yang terletak kira-kira tujuh setengah batu dari Bandar Taiping. Sebuah bangunan stesen dan beberapa buah gudang terdapat di sini. Sungguhpun begitu hanya sebuah gudang yang masih tinggal kini dan digunakan sebagai pelantar untuk nelayan menaikkan hasil tangkapan.
Gambar sumber dari Perpustakaan Akademi KTMB (MyRA), Batu Gajah, Perak.
Seperti mana punca Perhentian Matang Road dan Stesen Simpang ditutup, Stesen Port Weld ini juga ditamatkan operasinya secara rasmi pada 17 Januari 1972. Persaingan yang sengit dari perkhidmatan jalanraya telah mengubah segalanya. Tinggallah sejarah yang menyatakan bahawa pernah suatu masa dahulu wujud landasan keretapi yang menghubungkan Taiping dengan Port Weld atau Kuala Sepetang.
Maka berakhirlah perjalanan kita. Kita akhiri dengan satu lagi gambar dari teman di FB.













































