Kepada rakan – rakan yang ingin menggunakan perkhidmatan keretapi semasa cuti hari Raya Aidil fitri nanti, tiket masih banyak untuk beberapa sektor ke Utara dan Selatan tanahair. Walau bagaimanapun, untuk perjalanan ke Pantai Timur aku rasa dah semakin berkurangan atau hampir habis.
Aku rasa terharu di atas sokongan orang ramai yang sudah semakin yakin dengan perkhidmatan keretapi di negara ini. Sungguhpun bos dekat Intercity, En Mohd Nordin Kimi telah memaklumkan bahawa jumlah tiket tahun ini ditambah lagi 10,000 keping menjadi 110,000, masih ada juga yang kempunan untuk mendapatkan tiket – tiket perjalanan.
Guna perkhidmatan tren KTMB pada cuti perayaan ini sesungguhnya perjalanan dengan menggunakan keretapi adalah:
* menjimatkan (tak perlu isi minyak dan tak perlu bayar tol)
* tidak memenatkan (tak perlu bersusah payah mengharungi jalanraya yang sesak. Boleh berehat sepanjang perjalanan)
* selesa (tak perlu berebut tempat duduk atau tempat tidur dengan orang lain. Kalau rasa lapar, boleh beli makanan di kantin. Tapi untuk musim perayaan ni, aku nasihatkan kalian untuk bawa makanan sendiri, selalunya kantin kehabisan makanan sebelum tiba di stesen akhir perjalanan)
* selamat (tak perlu nak berlumba – lumba di jalanraya)
Cuma yang selalu terjadi pada musim – musim cuti ni adalah tren selalu lambat. Aku maklum oleh kerana KTMB kekurangan koc, maka koc-koc yang sama akan diguna berulang kali. Cuma nama tren itu, kakitangan KTMB dan 'cleaner' aje yang bertukar. Biar lambat asalkan selamat. Walaupun lambat, ada kalanya keretapi yang berlepas lewat dari jadual asal, akan tiba di destinasinya lebih awal mengalahkan kereta atau bas yang tersangkut di lebuhraya – lebuhraya seluruh Semenanjung Malaysia.
Aku berdoa agar sepanjang cuti Aidil Fitri dan cuti sekolah ni nanti, tiada kemalangan atau kecelakaan yang menimpa ke atas mana – mana keretapi. Tapi kalau dah nak terjadi, apakan daya... itu semua sudah suratan.
No comments:
Post a Comment