Ketika laluan di Ulu Selangor dalam pembinaan, satu laluan yang pendek telah dibina oleh Jabatan Keretapi ke kawasan perkampungan lombong yang kecil di Pudu, yang mana terdapat 20,000 orang China yang tinggal di kawasan sajauh 1.8 batu dari Kuala Lumpur ini.
Kerja – kerja pembinaan yang bermula pada bulan Mei 1892 telah disiapkan pada 1 Jun 1893 dengan perbelanjaan sebanyak $91,856.65.
Peta Keretapi Tanah Melayu Tahun 1991
Laluan ini dibuka untuk trafik pada bulan Jun 1893. Terdapat dua buah stesen di laluan ini. Laluan dari Kuala Lumpur adalah melalui Sungai Kelang dengan jambatan besi di sepanjang Foch Avenue (Jalan Tun H. S. Lee) merentasi Jalan Rodger, berhampiran Pasar Budaya, Jalan Bandar, Jalan Petaling dan Jalan Sultan, ke stesen pertama yang dipanggil Stesen Jalan Sultan, terletak hanya sebelum simpang di mana terdapatnya jalan seda ada ke Pudu Sentral pada masa ini dan bulatan yang menyambungkan Jalan Sultan. Dari jalan ini ia terus ke Jalan Pudu.
Keadaan trafik di Kuala Lumpur telah semakin sesak dan laluan keretapi yang melalui bandar – bandar dan jalan – jalan yang mana mempunyai banyak lintasan rata di dapati tidak memberi keselesaan kepada pengguna jalanraya yang lain. Laluan dari Kuala Lumpur ke Stesen Jalan Sultan kemudiannya dipindahkan pada tahun 1912 dan satu sambungan dibuat dengan laluan baru melalui simpang Pelabuhan Klang.Laluan ini menjadi semakin sibuk dengan trafik penumpang yang mana membawa 1,400 penumpang sehari pada tahun 1893 dan 1,682 orang penumpang sehari pada tahun 1894. Laluan ini disambungkan ke jalan Sungai Besi, iaitu pusat perlombongan terbesar, di mana terdapatnya lombong terbuka terbesar di dunia. Landasan sepanjang 8 ½ batu ini disiapkan dan dibuka pada awal Mac 1895.
Stesen – stesen Jalan Sultan dan Pudu disambungkan dengan satu laluan dari Simpang Salak Selatan yang juga kemudiannya disambungkan ke Stesen Ampang, iaitu sejauh tiga batu 65 rantai melalui Simpang Ampat. Laluan ke Ampang telah dibuka pada 1 Mei 1914. Semua simpang – simpang tersebut dikawalselia melalui sebuah kabin semboyan yang dikenali sebagai Simpang Ampang Kabin.
Kesibukan landasan cawangan ini semakin bertambah apabila banyak sisian – sisian perkhidmatan dibuka untuk menampung permintaan pelanggan yang mahukan pergerakan barang – barang secara pukal. Antara yang popular adalah Sisian Tasek Cement yang terletak di Pudu Ulu dan Sisian United Engineers Company di Ampang.
Sungguhpun begitu, landasan cawangan Ampang ini telah ditutup sepenuhnya mulai 16 September 1993 bagi memberi peluang untuk dilaksanakan kerja – kerja pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) .
Stesen Pudu sebelum Projek LRT
Bagi menggantikan Depot Simen TCB di Pudu Ulu yang terlibat dengan Projek LRT, sebuah depot simen yang baru telah dibina di Sungai Buloh. Projek pembinaan depot ini telah dimulakan pada tahun 1994 dan siap pada Disember 1995.
Demikianlah berakhirnya sejarah landasan Cawangan Ampang ini ditutup semata – mata untuk projek yang lebih menguntungkan. Sekiranya kalian menaiki LRT ke Ampang, kalian masih boleh melihat kesan – kesan peninggalan landasan keretapi termasuk jambatan dan sisian perkhidmatan yang digunakan untuk tempat penyelenggaraan LRT.
No comments:
Post a Comment