Memalukan tetapi berharga. Itulah yang dapat aku simpulkan sesudah menyaksikan siaran secara langsung perlawanan Pusingan Kelima Piala FA England di antara Liverpool dan Brighton yang disiarkan oleh ASTRO Saluran 813. Terima kasih ASTRO!!
Malu kerana
inilah kekalahan paling besar yang dialami oleh Brighton pada musim ini. Kekalahan ini juga merupakan kekalahan pertama dari empat perlawanan Piala FA yang melibatkan Liverpool dan Brighton. Sebelum ini Brighton menang sekali dan seri dua kali dalam kunjungan ke Anfield. Berharga kerana pengalaman yang diperolehi daripada perlawanan ini boleh
dijadikan bekalan untuk mengharungi baki perlawanan musim ini.
Pengurus
pasukan Gus Poyet membuat tiga pertukaran pemain dari barisan utama yang seri
2-2 dengan Millwall dalam perlawanan pertengahan minggu, dengan menyenaraikan
kembali Kazenga LuaLua dalam kesebelasan utama kali ini. Pemain
sayap Republic Congo itu mengambil tempat Craig Mackail-Smith, dan pemain
penyerang itu disenaraikan sebagai pemain simpanan.
Sementara
itu, Adam El-Abd bermula sebagai pertahanan kiri dan Will Buckley kembali ke
bahagian tengah selepas kedua-duanya terlepas perlawanan dengan Millwall; Joe
Mattock dan Gonzalo Jara Reyes pula terkeluar dari senarai yang dibawa ke
Anfield. Vicente pula sekadar mendapati beliau hanyalah sebagai pemain
simpanan.
Liverpool
memulakan jaringan menerusi Martin Skrtel pada minit ke-5. Kazenga LuaLua
menyamakan kedudukan pada minit ke-17 menerusi satu sepakan percuma yang
menarik. Pada minit ke-44, sekali lagi Liverpool mendahului apabila bola
tandukan Glen Johnson tertampan ke dalam gol oleh Liam Bridcutt.
Separuh
masa kedua bermula dengan agak baik buat Brighton yang mencari gol penyamaan.
Malangnya Andy Carroll telah menghukum kealpaan pemain Brighton dengan satu
sepakan kencang pada minit ke-57. Brighton yang ketinggalan 1-3 tidak mudah
putus asa dan masih berbalas serangan dengan Liverpool sehinggalah Liam
Bridcutt sekali lagi tertampan bola masuk ke dalam gol sendiri, kali ini dari
percubaan oleh Steven Gerrard.
Malang
sekali lagi menimpa buat Brighton apabila menghadiahkan Liverpool dengan satu
lagi gol sendiri. Giliran Lewis Dunk yang cuba untuk menyelamatkan bola tetapi tersepak masuk ke gawang sendiri
pada minit ke-74.
Demi
mengekang asakan bertali arus Liverpool, Craig Noone telah menjatuhkan Dirk
Kuyt dalam kotak penalti pada minit ke-80. Walau bagaimanapun, tendangan
penalti oleh Luis Suarez telah diselamatkan oleh penjaga gol Brighton, Peter
Brezovan.
Kenduri gol
Liverpool berakhir apabila Luis Suarez menanduk masuk hantaran lintang oleh
Andy Carroll pada minit ke-85. Keputusan akhir Liverpool menewaskan Brighton
& Hove Albion 6-1 dan akan bertemu Stoke City dalam perlawanan suku akhir.
Seramai
43,940 orang peminat bolasepak telah menyaksikan perlawanan yang pada separuh masa
pertama agak seimbang tetapi dikuasai sepenuhnya oleh Liverpool pada separuh
masa kedua.
Perlawanan
seterusnya bagi Brighton adalah menentang Hull City di KC Stadium pada hari
Rabu, 22 Februari 2012.
SENARAI
PEMAIN
Liverpool:
(4-4-2) Jose Reina; Glen Johnson, Jamie Carragher, Martin Skrtel, Sanchez Jose
Enrique; Charlie Adam, Jordan Henderson (Dirk Kuyt 77), Steven Gerrard (Jonjo
Shelvey 77), Stewart Downing; Luis Suarez, Andy Carroll. Pemain simpanan yang
lain: Alexander Doni (GK), Rodriguez Maxi, Sebastian Coates, Jay Spearing,
Martin Kelly.
Albion:
(4-4-2) Peter Brezovan; Inigo Calderon, Gordon Greer, Lewis Dunk, Adam El-Abd
(Rodriguez Vicente 69); Will Buckley (Craig Noone 46), Liam Bridcutt, Alan
Navarro, Kazenga LuaLua; Ashley Barnes, Sam Vokes (Craig Mackail-Smith 69).
Pemain simpanan yang lain: Casper Ankergren (GK), Ryan Harley, Torbjorn
Agdestein, Romain Vincelot.
No comments:
Post a Comment