Setelah sekian lama memberikan khidmatnya kepada penduduk setempat, akhirnya Stesen keretapi Bukit Merah ditutup secara rasminya mulai 30 Julai 2013 yang lalu.
Stesen ini merupakan stesen kedua yang ditutup sepanjang laluan antara Stesen Bagan Serai dan Taiping setelah Stesen Pondok Tanjung ditutup beberapa bulan yang lepas. Ini kerana jajaran landasan yang baru bagi Projek Landasan Berkembar Elektrifikasi Ipoh - Padang Besar tidak lagi melalui kedua - dua tempat tersebut.
Semasa beroperasi stesen yang terletak di KM 66.7 atau di TT 40/17 ini, merupakan sebuah stesen 'fully interlocked' dilengkapi dengan 16 'lever ground frame'. Terdapat satu landasan gegelung dan satu landasan sisian perkhidmatan yang selalu digunakan oleh tren balas atau keretarel dari Merinyu Urusan Jalan. Stesen ini cuma mempunyai sebuah platform yang berkedudukan di sebelah kiri arah landasan turun.
Walaupun stesen ini sebelum penutupannya hanyalah sebuah stesen operasi bagi tujuan perselisihan tren, tetapi ianya pernah digunakan untuk Tren Ekspres Langkawi bagi mengambil dan menurunkan penumpang yang ingin berkunjung ke Bukit Merah Laketown Resort. Pada suatu ketika dahulu, tren-tren mel siang dan malam yang banyak berhenti di stesen ini.
Setelah siapnya jajaran landasan yang baru, semua tren tidak lagi melalui laluan asal yang berliku.
Harapnya agar stesen ini akan terus dikekalkan dan dijaga sebagai sebuah warisan bagi membuktikan bahawa pernah wujud sebuah stesen keretapi di Bukit Merah.
Aku paparkan di sini sebahagian daripada kenangan yang aku kumpul dari berbagai sumber sebagai perkongsian pada kali ini.