Saturday 10 October 2009

Keretapi Kerajaan Johor

Keretapi - Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu (KKMB) iaitu keretapi pertama menerusi Kerajaan Melayu Bersekutu (KMB) dari Prai ke Seremban sejauh 288 batu, telah dirasmikan pada Julai 1903. Wawasan dan objektif KMB adalah untuk mengadakan laluan terus ke utara sehingga ke penghujung Semenanjung. Singapura memulakan pembinaan sistem keretapi di pulau tersebut pada 1901. KMB meneruskan sambungan laluan tersebut di sektor selatan iaitu dari Seremban ke Tampin setelah mengenepikan cadangan asalnya iaitu laluan keretapi melalui Kuala Pilah dan seterusnya dari Tampin sehingga sempadan Johor, iaitu Kuala Gemas. Johor adalah Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Perbincangan yang berlarutan dan sukar telah dilalui dalam usaha untuk membina sejauh 120 batu laluan keretapi di negeri tersebut. Masalah utama yang dialami ialah aspek kewangan.


Pada tahun 1899 Frank Swettenham telah mencadangkan laluan dibina oleh KMB dan Kerajaan Negeri dikehendaki membiayai faedah sebanyak dua peratus dari jumlah peruntukan tersebut. Tetapi cadangan tersebut ditolak. Pada tahun 1901, Pejabat Jajahan telah memaklumkan kepada Lembaga Penasihat Sultan di London untuk memberikan jawapan secepat mungkin. Lembaga Penasihat menyatakan bahawa setelah dibuat penelitian mereka tidak keberatan untuk memaklumkan kepada Sultan bahawa cadangan skim tersebut, walaupun liberal akan mendatangkan bebanan secara langsung kepada pendapatan awam yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Kemudiannya, satu cadangan baru disertai dengan aturan kewangan yang berlainan dikemukakan.


Stesen Keretapi Johor Bahru

Johor sememangnya berminat untuk mempunyai sistem keretapi malahan ia merupakan negeri pertama yang cuba untuk membina landasan keretapi sebelum Kerajaan Inggeris pada 1868. Ia merupakan landasan kayu sejauh 21 batu dari Johor Bahru ke Gunung Pulai, tetapi malangnya landasan tersebut dimakan oleh anai - anai. Selanjutnya pembinaan landasan besi sejauh 11 batu dimulakan pada November 1888 di Muar dan dibuka untuk trafik pada 11 Mac 1890 yang dikenali sebagai Keretapi Kerajaan Muar. Ia beroperasi antara Bandar Maharani di muara Sungai Muar dan Parit Jawa dan kemudiannya disambung sejauh tiga batu ke Sungai Pulai. Walaupun pada permulaannya ia berjalan lancar, tetapi dengan pembangunan sistem jalanraya dan terpaksa bersaing dengannya, telah menamatkan perkhidmatan keretapi pada tahun 1921. Satu lagi cadangan ialah pembinaan jalan keretapi sejauh 106 1/2 batu dari Johor Bharu ke Segamat telah dikemukakan oleh F. G. Slessor pada tahun 1892 dengan anggaran kos $3,692,000.00 tetapi tiada kemajuan yang dilaporkan.

Feri yang menghubungkan Woodlands dengan Johor Bahru sebelum adanya Tambak Johor.

Feri yang digunakan untuk membawa gerabak menyeberangi Selat Tebrau

Tiada syarikat swasta yang mahu tampil ke hadapan tanpa jaminan kukuh dari kerajaan. Walaupun terma yang ditawarkan oleh KMB adalah baik tetapi tidak dapat diterima oleh syarikat - syarikat tersebut. Dengan rasa kecewa Swettenham menulis kepada Pejabat Jajahan di London memohon mereka untuk merujuk kepada Artikel Tiga Perjanjian 1885 dengan Kerajaan Johor, di mana kerajaan Inggeris mempunyai hak untuk melantik seorang agen untuk menduduki dalam Mahkamah Sultan, dan dengan ini membuatkan negeri tersebut di bawah kawalan Inggeris seperti juga negeri - negeri yang lain. Pejabat Jajahan tidak setuju untuk menerima cadangan Swettenham. Rundingan diteruskan selama dua tahun lagi dan cadangan yang diubahsuai telah dikemukakan di mana Kerajaan Melayu Bersekutu akan mendahulukan peruntukkan sebanyak 1,250,000 pound dan Kerajaan Johor perlu membayar tiga peratus kadar faedah terhadap kos tersebut. Mereka juga boleh menerima dalam bentuk keuntungan yang diperolehi dari bahagian mereka dan jumlah tertentu yang diterima tersebut hendaklah ditolak dari peruntukkan yang didahulukan. Ini memberi kelebihan kepada KMB dalam pengawalan kerja – kerja pembinaan keretapi dan Kerajaan Johor pula mempunyai kawalan yang minimal. Swettenham telah mengemukakan cadangan ini kepada Sultan Ibrahim dan seterusnya Konvensyen Keretapi Johor telah dengan rasminya ditandatangani pada Julai 1904 di London. Adalah dipersetujui bahawa keretapi dibina oleh KMB di mana Kerajaan Johor perlu membayar faedah ke atas kos pembinaan tersebut. Keretapi tersebut dengan rasmi dimiliki oleh Kerajaan Johor, manakala Lembaga Kawalan bersama terdiri daripada pegawai - pegawai dari Johor dan KMB akan menguruskan operasi tersebut.


Peta Lama Jajaran Keretapi di Johor

Kerja-kerja pembinaan Keretapi Negeri Johor bermula pada Mac 1904. Tanpa sistem jalanraya dan laluan menerusi hutan tropika yang tebal, telah menimbulkan kesukaran untuk kerja – kerja pembinaan. Stesen Gemas ke Segamat sejauh 16 batu 23 rantai telah dibuka kepada trafik pada 1 Mac 1908. Laluan sejauh 120 batu dan 72 rantai antara Gemas dan Johor Bharu akhirnya dibuka pada 1909. Jumlah perbelanjaan untuk pembinaan laluan ini ialah $11,606,850. Pada Mac 1909 satu perjanjian telah ditandatangani untuk membina terminal di Gemas untuk gunasama oleh Keretapi Kerajaan Johor (KKJ) dan KMB bagi tujuan penyelenggaraan dan Aturan Kerja. Dengan kehadiran KKJ jumlah panjang laluan yang dikendalikan oleh KMB adalah 469 batu.


Laporan Tahunan Keretapi Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1909 telah menunjukkan akaun mengenai aset, operasi dan hasil - hasil Negeri Johor. Akaun kapital pada akhir tahun adalah $11,676,310.65. Jumlah pendapatan ialah $196,454 di mana hasil penumpang ialah $144,596 berbanding $51,858 dari perkhidmatan barang. Jumlah perbelanjaan ialah $78,406. Tahun tersebut mengalami kerugian sebanyak $15.449.


Sistem Keretapi pada masa itu mempunyai jumlah lokomotif dan stokeretanya sendiri dan sebahagiannya dijual kepada KMB. Pada akhir tahun 1909, ia mempunyai 12 lokomotif, 27 koc dan 344 gerabak.


Satu gerabak feri antara Johor dan Singapura telah mula beroperasi pada 1 Januari 1910. Kuda, kenderaan motokar, barang - barang dan binatang dibawa antara negeri - negeri tersebut. Feri tersebut adalah hak bersama Kerajaan Melayu Bersekutu, Keretapi Kerajaan Johor dan Keretapi Kerajaan Singapura. Jumlah muatan gerabak yang dibawa ke Singapura pada tahun 1910 adalah 479 dan 1,902. Satu feri penumpang juga beroperasi mulai 1 April 1903 antara Woodlands dan Johor Bharu apabila keretapi Singapura dan Kranji dibuka.


Mengikut Perjanjian Persefahaman pada konvensyen 1904, jumlah faedah yang dikenakan oleh KMB pada KKJ ke atas pinjaman untuk pembinaan keretapi berjumlah $1,278,386 pada akhir tahun 1910. Jumlah trafik meningkat tetapi pada tahun 1911 kerugian direkodkan sebanyak $6,863. Jumlah hutang Kerajaan Negeri kepada KMB adalah $11,168,578. Sistem Pengurusan Kewangan disemak semula dan perjanjian dibuat untuk menyewakan Keretapi Kerajaan Johor kepada KMR selama 21 tahun mulai Januari 1911 pada kadar sewa seperti berikut:-


Untuk setiap tahun dari 1912 – 1916 kadar sewa - $110,000

Untuk setiap tahun dari 1917 - 1921 kadar sewa - $220,000

Untuk setiap tahun dari 1921 - 1925 kadar sewa - $357,000

Untuk setiap tahun dari 1926 - 1932 kadar sewa - $470,000


Perjanjian ini juga Memerlukan Kerajaan Melayu Bersekutu untuk membeli dan mengambilalih koc, lokomotif dan lain –lain stokereta.


Pada tahun 1933 sewaan tersebut disambung lagi kepada 21 tahun dengan semakan semula terma dan syarat - syarat. Tetapi sebelum tempoh tersebut berakhir pada 1953, telah diganggu oleh perang dunia kedua dan selepas itu Johor telah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaya dan Keretapi Tanah Melayu mengambil alih pengurusan menjadikannya satu entiti.

Friday 9 October 2009

Dari Lipatan Sejarah

Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Najihah binti Tunku Besar Burhanuddin di Stesen Keretapi Kuala Lumpur untuk istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong Yang Ke 10.
Ambulan Rel yang digunakan oleh Jabatan Perubatan Kerajaan dan Keretapi untuk kes - kes kecemasan.
Jadual Waktu Tren Tahun 1901
Stesen Pudu
Stesen Petaling
EMU dari Marubeni / Hyundai sedang diturunkan dari kapal di Pelabuhan Butterworth
Stesen Kuala Kubu
Perkhidmatan feri antara Johor Bahru dan Woodlands
Pelancaran Ekspres Wau
Stesen Batu Tiga

Perkhidmatan Udara Kendalian Keretapi Tanah Melayu

Keretapi Tanah Melayu suatu ketika pernah mengendalikan lain – lain mode pengangkutan sebagai perkhidmatan tambahan atau atas permintaan dari kerajaan untuk kemudahan rakyat jelata. Salah satu daripada permintaan yang begitu penting ialah pelancaran Perkhidmatan Udara Persekutuan oleh pihak kerajaan pada tahun 1951. Ketika itu adalah tempoh masa darurat di mana aktiviti-aktiviti pengganas komunis telah mengganggu gugat perkhidmatan pengangkutan. Keretapi Tanah Melayu juga menerima beberapa ancaman serangan pengganas komunis. Pada tahun 1950 sahaja terdapat 400 serangan komunis yang menyebabkan berlakunya kegelinciran keretapi serta kerosakan kepada stokereta, mencederakan 59 orang penumpang, membunuh 10 orang penumpang, dan 13 orang kakitangan keretapi, kakitangan kerajaan, anggota polis serta 63 orang lagi tercedera. Laluan utama keretapi telah ditutup untuk beberapa hari di beberapa tempat serta pada masa - masa yang tertentu.


Tujuan perkhidmatan udara ini diadakan ialah untuk menyediakan mode pengangkutan yang selamat dan kerap di tempat - tempat yang dikenalpasti. Terdapat 44 lapangan terbang kecil di seluruh negara. Kerajaan Persekutuan memiliki lima buah kapal terbang jenis De Havilland "Beaver" dengan tempat duduk untuk lima orang penumpang. Kedua - dua perkhidmatan tersebut adalah jenis perkhidmatan berjadual serta untuk sewaan.Kapal terbang tersebut ditempatkan di lapangan terbang yang baru ketika itu iaitu di Sungai Besi yang mempunyai kemudahan "hangar" dan bengkel.


Perkhidmatan ini telah beroperasi dalam kerugian. Dengan itu Kerajaan telah membuat rancangan supaya perkhidmatan ini diambil alih oleh Keretapi Tanah Melayu mulai 1 Julai 1954. Dalam proses tersebut, sistem perakaunan, penstoran, hal ehwal kakitangan dan perkhidmatan trafik digabungkan dengan Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu. Aturan - aturan telah dibuat untuk memudahkan tempahan tiket di semua stesen keretapi dan agen yang dilantik. Perkhidmatan ini beroperasi di bawah kawalan Pengarah Perkhidmatan Penerbangan, Persekutuan Tanah Melayu dan kerugian-kerugian yang dialami oleh perkhidmatan ini ditanggung oleh tabung kerajaan. Pengarah Perkhidmatan Penerbangan adalah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Keretapi dan adalah juga penasihat kepada Keretapi Tanah Melayu mengenai polisi dan perkara - perkara berkaitan dengan operasi.

Salah sebuah pesawat terbang


Perkhidmatan udara ini beroperasi pada setiap hari ke lapangan terbang di Pahang dan Terengganu dengan tambahan seminggu sekali ke Kota Bharu, Kelantan. Dua perkhidmatan seminggu beroperasi ke lapangan terbang di Pahang dan barat Perak dan perkhidmatan bulanan ke Kroh dan Grik di utara Perak. Perkhidmatan untuk sewaan beroperasi di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah memainkan peranan yang penting. Sistem jalanraya ketika itu adalah terhad dan perkhidmatan-perkhidmatan ini memenuhi keperluan yang penting di mana melibatkan pergerakan kargo seperti surat khabar, peralatan mesin perlombongan dan surat/mel ke kawasan - kawasan yang sukar dilalui.


Semenjak perkhidmatan ini diambil alih oleh Keretapi Tanah Melayu, kerugian tahunan ke atas operasi telah dapat dikurangkan. Kerugian operasi pada tahun 1955 adalah $140.986 dan agak tinggi sedikit pada tahun 1956 kerana peningkatan ke atas kadar bayaran gaji dan lain-lain kos berjumlah $208,860. Walau bagaimanapun, ini adalah $100,000 kurang daripada tahun sebelum Pentadbiran Keretapi mengambil alih pengurusan.


Pendapatan mengikut jam penerbangan pada tahun 1956 adalah 2,513 yang mana perkhidmatan berjadualnya adalah 1,773 dan baki 740 jam lagi dimasukkan kepada penerbangan - penerbangan sewaan.


Mengikut peraturan asalnya, Pengurusan Keretapi Tanah Melayu sepatutnya berakhir pada 30 April 1957 tetapi Keretapi Tanah Melayu diminta untuk meneruskan operasi perkhidmatan tersebut yang mana pihak kerajaan juga berunding dengan lain - lain perkhidmatan udara yang utama mengenai masa hadapan perkhidmatan udara ini.


Pada tahun 1957, kerugian tahunan telah dapat dikurangkan kepada $173,532, tetapi hasil pendapatan mengikut jam penerbangan didapati agak berkurangan.


Pendapatan dan tambang penumpang adalah sama sebagaimana perkhidmatan sewaan iaitu lebih kurang $10,000 pada setiap penerbangan manakala daripada kargo pula adalah lebih kurang 30% atau $3,000. Perkhidmatan ini terus beroperasi sehingga tahun 1957 dan diteruskan sehingga 1 Mac 1958 apabila perkhidmatan ini digabungkan dalam Malayan Airways Ltd. dengan membuat perombakan semula syarikat ini.


Dengan ini berakhirlah 'Sayap Keretapi' yang sebelum ini mempunyai kapasiti untuk terbang. Ini merupakan sebahagian daripada kenangan yang menjadi warisan kita.

Wednesday 7 October 2009

Leyton Orient..1 Brighton..0

Brighton and Hove Albion terus dirundung malam.


Dalam perlawanan Pusingan Kedua Seksyen Selatan, Trofi Liga Bolasepak (Football League Trophy) menentang Leyton Orient di Stadium Matchroom semalam, pasukan Brighton tewas 0 – 1.

Pengurus Pasukan, Russell Slade menurunkan sembilan muka baru dalam kesebelasan utama. Seorang daripadanya ialah Glenn Murray yang turun setelah sembuh dari kecederaan.

Albion: (4-4-2) Smith; Virgo (Tunnicliffe 46), Elphick, Wright, McNulty (Livermore 68); Cox, Navarro, Thornhill, A Davies (McLeod 87); Hart, Murray. Pemain Simpanan yang lain: Dickinson, J Smith.

Aksi dalam perlawanan menentang Leyton Orient, semalam

Sunday 4 October 2009

Terlalu Banyak.....

Terlalu LAMA BERDIRI?
Merosakkan tulang. Urat-urat sekitar kaki menjadi kembang.

Terlalu LAMA DUDUK?
Merosakkan lipatan daging. Akan mudah dihinggapi penyakit tua. Tubuh menjadi kendur.

Terlalu LAMA MELIHAT?
Merosakkan darah.

Terlalu BANYAK TIDUR?
Merosakkan tenaga. Menjadi pemalas. Jauh jodoh. Selalu berangan-angan. Mudah dijangkiti kemandulan.

Terlalu RIANG/GEMBIRA?
Merosakkan usus.

Terlalu KERAP MARAH?
Merosakkan hati. Cepat kelihatan tua.

Terlalu BANYAK BERFIKIR?
Merosakkan limpa. Kulit muka cepat berkedut. Dalam waktu tidur kerap mengalami sentakan kaki atau tangan.

Terlalu BANYAK BERSEDIH?
Merosakkan jantung.

Terlalu MERANA?
Merosakkan paru-paru.

Terlalu TAKUT?
Merosakkan ginjal. Apabila fungsi ginjal terjejas, boleh mengakibatkan gejala kencing manis dan lemah jantung.

Terlalu KERAP TERKEJUT?
Merosakkan pundit hempedu. Gejala pening kepala kerap dialami.

Terlalu BANYAK MAKAN?
Merosakkan pencernaan. Mudah mengalami keletihan, malas dan selalu mengantuk.

Terlalu BANYAK MINUM AIS?
Merosakkan otot dan lambung. Badan menjadi lembik. Berat badan meningkat. Mudah diserang penyakit dan tidak kelihatan awet muda.

Terlalu BANYAK MASA LAPANG?
Merosakkan fikiran. Kelapangan masa yang terlalu banyak menimbulkan suka berkhayal dan menimbulkan pelbagai penyakit jiwa, kecuali masa lapang diisi dengan aktiviti hidup positif.


Brighton..0 MK Dons..1

Musim tidak menentu terus menyelubungi pasukan Brighton and Hove Albion. Tewas 0 – 1 kepada pasukan MK Dons malam tadi (3/10/09) mengekalkan pasukan Brighton di tangga ke 21 Liga Coca Cola Bahagian Satu.


Jake Wright memulakan perlawanan pertamanya sejak sembuh dari kecederaan hamstring yang dialami semasa menentang Brentford bulan Ogos lepas. Beliau mengisi tempat Adam Virgo yang digantung satu perlawanan. Alan Navarro kembali ke bangku simpanan, manakala Jim McNulty kembali sembuh dari sakit gigi.


Albion: (4-4-2) Kuipers; El-Abd, Elphick, Tunnicliffe, Wright; Bennett, Crofts, Dicker (Murray 81), A Davies (Thornhill 64); Forster, Dickinson. Pemain Simpanan yang lain: Smith (GK), Cox, Hart,
Lavarro, Livermore.