Friday 9 October 2009

Perkhidmatan Udara Kendalian Keretapi Tanah Melayu

Keretapi Tanah Melayu suatu ketika pernah mengendalikan lain – lain mode pengangkutan sebagai perkhidmatan tambahan atau atas permintaan dari kerajaan untuk kemudahan rakyat jelata. Salah satu daripada permintaan yang begitu penting ialah pelancaran Perkhidmatan Udara Persekutuan oleh pihak kerajaan pada tahun 1951. Ketika itu adalah tempoh masa darurat di mana aktiviti-aktiviti pengganas komunis telah mengganggu gugat perkhidmatan pengangkutan. Keretapi Tanah Melayu juga menerima beberapa ancaman serangan pengganas komunis. Pada tahun 1950 sahaja terdapat 400 serangan komunis yang menyebabkan berlakunya kegelinciran keretapi serta kerosakan kepada stokereta, mencederakan 59 orang penumpang, membunuh 10 orang penumpang, dan 13 orang kakitangan keretapi, kakitangan kerajaan, anggota polis serta 63 orang lagi tercedera. Laluan utama keretapi telah ditutup untuk beberapa hari di beberapa tempat serta pada masa - masa yang tertentu.


Tujuan perkhidmatan udara ini diadakan ialah untuk menyediakan mode pengangkutan yang selamat dan kerap di tempat - tempat yang dikenalpasti. Terdapat 44 lapangan terbang kecil di seluruh negara. Kerajaan Persekutuan memiliki lima buah kapal terbang jenis De Havilland "Beaver" dengan tempat duduk untuk lima orang penumpang. Kedua - dua perkhidmatan tersebut adalah jenis perkhidmatan berjadual serta untuk sewaan.Kapal terbang tersebut ditempatkan di lapangan terbang yang baru ketika itu iaitu di Sungai Besi yang mempunyai kemudahan "hangar" dan bengkel.


Perkhidmatan ini telah beroperasi dalam kerugian. Dengan itu Kerajaan telah membuat rancangan supaya perkhidmatan ini diambil alih oleh Keretapi Tanah Melayu mulai 1 Julai 1954. Dalam proses tersebut, sistem perakaunan, penstoran, hal ehwal kakitangan dan perkhidmatan trafik digabungkan dengan Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu. Aturan - aturan telah dibuat untuk memudahkan tempahan tiket di semua stesen keretapi dan agen yang dilantik. Perkhidmatan ini beroperasi di bawah kawalan Pengarah Perkhidmatan Penerbangan, Persekutuan Tanah Melayu dan kerugian-kerugian yang dialami oleh perkhidmatan ini ditanggung oleh tabung kerajaan. Pengarah Perkhidmatan Penerbangan adalah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Keretapi dan adalah juga penasihat kepada Keretapi Tanah Melayu mengenai polisi dan perkara - perkara berkaitan dengan operasi.

Salah sebuah pesawat terbang


Perkhidmatan udara ini beroperasi pada setiap hari ke lapangan terbang di Pahang dan Terengganu dengan tambahan seminggu sekali ke Kota Bharu, Kelantan. Dua perkhidmatan seminggu beroperasi ke lapangan terbang di Pahang dan barat Perak dan perkhidmatan bulanan ke Kroh dan Grik di utara Perak. Perkhidmatan untuk sewaan beroperasi di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah memainkan peranan yang penting. Sistem jalanraya ketika itu adalah terhad dan perkhidmatan-perkhidmatan ini memenuhi keperluan yang penting di mana melibatkan pergerakan kargo seperti surat khabar, peralatan mesin perlombongan dan surat/mel ke kawasan - kawasan yang sukar dilalui.


Semenjak perkhidmatan ini diambil alih oleh Keretapi Tanah Melayu, kerugian tahunan ke atas operasi telah dapat dikurangkan. Kerugian operasi pada tahun 1955 adalah $140.986 dan agak tinggi sedikit pada tahun 1956 kerana peningkatan ke atas kadar bayaran gaji dan lain-lain kos berjumlah $208,860. Walau bagaimanapun, ini adalah $100,000 kurang daripada tahun sebelum Pentadbiran Keretapi mengambil alih pengurusan.


Pendapatan mengikut jam penerbangan pada tahun 1956 adalah 2,513 yang mana perkhidmatan berjadualnya adalah 1,773 dan baki 740 jam lagi dimasukkan kepada penerbangan - penerbangan sewaan.


Mengikut peraturan asalnya, Pengurusan Keretapi Tanah Melayu sepatutnya berakhir pada 30 April 1957 tetapi Keretapi Tanah Melayu diminta untuk meneruskan operasi perkhidmatan tersebut yang mana pihak kerajaan juga berunding dengan lain - lain perkhidmatan udara yang utama mengenai masa hadapan perkhidmatan udara ini.


Pada tahun 1957, kerugian tahunan telah dapat dikurangkan kepada $173,532, tetapi hasil pendapatan mengikut jam penerbangan didapati agak berkurangan.


Pendapatan dan tambang penumpang adalah sama sebagaimana perkhidmatan sewaan iaitu lebih kurang $10,000 pada setiap penerbangan manakala daripada kargo pula adalah lebih kurang 30% atau $3,000. Perkhidmatan ini terus beroperasi sehingga tahun 1957 dan diteruskan sehingga 1 Mac 1958 apabila perkhidmatan ini digabungkan dalam Malayan Airways Ltd. dengan membuat perombakan semula syarikat ini.


Dengan ini berakhirlah 'Sayap Keretapi' yang sebelum ini mempunyai kapasiti untuk terbang. Ini merupakan sebahagian daripada kenangan yang menjadi warisan kita.

No comments:

Post a Comment