Jika kalian pernah menaiki KTM Komuter, pasti kalian pernah mengalami lampu dalam tren itu tiba - tiba padam seketika apabila melalui kawasan - kawasan yang tertentu. Walau bagaimanapun, keadaan menjadi pulih kira - kira 7 atau 8 saat kemudian bergantung kepada kelajuan semasa tren yang kalian naiki. Sebenarnya, tren komuter tersebut baru sahaja melalui Kawasan Berkecuali atau
Neutral Section.
Tren komuter bergerak menggunakan kuasa elektrik setinggi 25kV dengan sentuhan antara talian atas OCS (Overhead Catenary System) dengan sebuah alat yang dipanggil pantograph yang terletak di atas bumbung tren komuter.
Oleh yang demikian, satu peralatan OCS dipasang bertujuan memisahkan dua punca kuasa elektrik dari Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pemasangan peralatan ini adalah perlu bagi mengelakkan pertembungan dua punca kuasa elektrik yang berlainan.
TNB membekalkan kuasa elektrik kepada semua Stesen Pembekal Keretapi yang terletak di Lahat, Sungkai, Kalumpang, Rawang, Salak Selatan, Batang Benar, Subang Jaya, Shah Alam dan Pelabuhan Klang.
Selalunya apabila tren komuter sedang melalui Kawasan Berkecuali (biasanya 20 – 30 kilometer di sepanjang Landasan Berkembar Elektrifikasi) iaitu kawasan talian yang tiada kuasa elektrik, sistem penghawa dingin akan terhenti dan lampu akan terpadam seketika.
Sepanjang laluan Komuter, terdapat empat belas lokasi bahagian berkecuali iaitu di Lahat, Kampar, Sungkai, Slim River, Kalumpang, Rasa, Rawang, Kepong, Salak Selatan, Kajang, Batang Benar, Simpang Pelabuhan Klang, Subang Jaya dan Padang Jawa.
Sekarang kalian pasti dah tahu mengapa tiap kali kalian menggunakan perkhidmatan KTM Komuter, ada masa - masanya tiba - tiba aje tak ada air-cond, lampu tak nyala buat seketika. Tetapi jika tren yang kalian naiki itu sejak dari awal tak ada air-cond atau lampu tak menyala, itu bukan kerana masalah
Neutral Section, tetapi itu adalah masalah teknikal.
Aku rasa KTMB dah berusaha untuk memberi yang terbaik untuk para penumpang, tetapi tak mampu untuk memenuhi kehendak semua kerana kekurangan set EMU. Lagipun kalau ada banyak set EMU di Lembah Klang, maka bertambah sesaklah jalan keretapi dan makin lambatlah perjalanan bukan sahaja tren komuter, tren antarabandar pun akan terlibat sama.
Dulu sebelum ada KTM Komuter, masyarakat pergi juga kerja atau sekolah dengan apa juga jenis kenderaan, mengapa tak merungut bila jalanraya jadi sesak? Tapi bila dah ada kemudahan seperti tren komuter ini, banyak pula 'songel', itu tak kena, ini tak jadi dan macam - macam lagi.