Saturday, 10 September 2011

Mendung Di Kuala Lumpur


Salam buat semua.

Kuala Lumpur pagi ini kelihatan mendung. Walaupun pada masa aku menulis ini jam sudah menunjukkan pukul 7.45 pagi, tetapi matahari tetap menyembunyikan dirinya.

Hujung minggu ini adalah masa dan ketika yang paling sesuai bagi warga kota untuk menziarahi rakan taulan di sekitar Lembah Kota sempena Hari Raya Aidil Fitri. Khabarnya ada juga kawan-kawan aku yang merancang untuk membawa keluarga bersiar-siar ke beberapa kawasan peranginan.

Aku dan keluarga merancang untuk menziarahi Kak Ngah di Serendah. Kejap lagi kami gerak la dari rumah.

Harap-harap cuaca akan bertukar cerah dalam sejam dua nanti, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.


Sabtu, 10/09/2011

Cuaca Baik
Sepanjang Hari
Pagi : Tiada Hujan
Petang : Tiada Hujan
Malam : Tiada Hujan
Minimum : 24 °C
Maksimum : 34 °C

Friday, 9 September 2011

Anugerah Pengurus Terbaik Bulan Ogos

Pengurus pasukan Brighton & Hove Albion, Gus Poyet telah dipilih sebagai Pengurus Terbaik Liga Kejuaraan bagi bulan Ogos 2011, selepas memulakan musim 2011/12 dengan bergaya. Setelah tercicir selama selama lima musim, Brighton kembali ke Liga Kejuaraan dengan mencatat rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan dan sekarang ini mendahului liga.

The Seagulls mencatat empat kemenangan dan satu seri sepanjang bulan Ogos 2011, menjaringkan sepuluh gol dan dibolosi sebanyak empat kali. Selain daripada itu Brighton juga telah layak ke pusingan ketiga Piala Carling setelah menewaskan Gillingham dan Sunderland dalam dua perlawanan pusingan awal.

Tiada seorang pun pemain Brighton yang disenaraipendek untuk Anugerah Pemain Terbaik Liga Kejuaraan bulan Ogos 2011.

entahlah...

entah apa yang berlaku sepanjang minggu ini
entah apa yang terjadi sepanjang masa itu
entah apa yang melanda sepanjang waktu ini
tak tahu nak kata apa
tatkala aku cuba untuk melupakan kenangan silam
ianya datang kembali secara tiba-tiba tanpa diduga
inikah namanya dugaan
atau inikah yang dipanggil satu kebetulan
entahlah.....

Wednesday, 7 September 2011

Rintihan Semalam

Malam hening memainkan lagu
Kisah cinta beralun sayu
Sama sayupnya hembusan bayu
Dingin-dingin menikam kalbu

Hati ini yang sudah terguris
Pedih pilu batin menangis
Kepada cinta hati mengemis
Engkau tak setia di hati kau kikis

Oh Tuhan tabahkan hati ini
Agar lautan dapat kuharungi
Agar api dapat dirintangi
Agar badai dapat kulalui

Perjalanan Ke Sungai Golok?

Aku agak terkejut apabila terlihat gambar di atas. Menurut tuan punya gambar ini, gambar tersebut diambil beberapa hari lalu di Stesen Keretapi Pasir Mas.

Jika benar Tren Shuttle antara Pasir Mas - Sungai Golok - Pasir Mas akan diadakan semula, bilakah tarikh sebenar ianya akan dilancar? Selain daripada itu adalah tren tersebut hanya akan melibatkan Stesen Pasir Mas, Stesen Rantau Panjang dan Stesen Sungai Golok sahaja?

Apa pun, aku menyokong perkhidmatan tren antara Pasir Mas - Sungai Golok - Pasir Mas ini dilarikan semula. Ramai orang akan mendapat manafaat apabila perkhidmatan tren ini kembali beroperasi. Yang paling penting, dibina semula stesen dan perhentian di sepanjang landasan tersebut seperti Stesen Gual Periok, Perhentian Lubok Batil dan lain - lain untuk kemudahan penumpang.

Jawatan Kosong - Pengawal Keselamatan ( Polis Bantuan)

Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan di Jabatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) bagi jawatan berikut:-

PENGAWAL KESELAMATAN (POLIS BANTUAN)

Syarat Kelayakan

  • Lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) / Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan mendapat kepujian di dalam Bahasa Malaysia;
  • Umur tidak melebihi 25 tahun pada tarikh tutup iklan (bagi calon luar) atau tidak tidak melebihi 35 tahun bagi kakitangan KTM Berhad;
  • Tinggi tidak kurang daripada 157sm (tanpa memakai kasut);
  • Berat badan tidak kurang daripada 48kg;
  • Ukuran dada biasa 79sm, tarik nafas 84sm;
  • Penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasingan dengan ketetapan V6/9 tanpa cermin mata;
  • Boleh berkomunikasi dan menulis di dalam Bahasa Malaysia;
  • Sedia ditempatkan ke mana-mana lokasi di rangkaian KTM Berhad;

Spesifikasi Tugas.

  • Menjaga kawasan bit, pos bengkel, ibu pejabat, pejabat tunai, stesen, dan platform;
  • Menjalankan tugas-tugas mengiringi wang ke bank bersama penyelia;
  • Menjalankan tugas-tugas rondaan bersama penyelia di laluan komuter;
  • Mengeluarkan pas pelawat kepada orang-orang awam yang memasuki bengkel dan pejabat-pejabat di ibu pejabat KTM Berhad;
  • Membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar masuk di bengkel;
  • Membuat laporan kenyataan yang benar dalam buku catatan, buku harian, balai dan sebarang buku laporan.

Cara Memohon

Permohonan hendaklah dibuat secara bertulis dengan menyatakan pengalaman, butir-butir peribadi beserta dengan salinan sijil-sijil persekolahan, sekeping gambar berukuran pasport dan sampul surat beralamat sendiri (ukuran 4” x 9”) yang bersetem. Permohonan yang lengkap hendaklah dihantar tidak lewat daripada 15 September 2011 ke alamat seperti berikut:-

Pengurus Besar
Pengurusan Bakat dan Pembangunan Organisasi
Ibu Pejabat Korporat KTM Berhad
Jalan Sultan Hishamuddin
50621 Kuala Lumpur

Monday, 5 September 2011

Perjumpaan Keluarga Di Lubok China, Melaka

Pada hari Jumaat 2 September 2011, telah diadakan Majlis Perjumpaan Keluarga sempena Hari Raya Aidil Fitri. Majlis ini telah berlangsung di rumah ayah di Kampung Telok Berembang, Lubok China, Melaka dengan dihadiri oleh adik - beradik yang datang dari Johor Bahru, Serdang, Seremban, Serendah dan sekitar Kuala Lumpur.

Ayah dengan dibantu oleh mak dan adik - beradik yang hadir telah menyediakan menu yang sangat menarik untuk hari itu. Antara lauk pauk yang yang disajikan adalah Nasi Minyak, Itik Masak Lemak Cili Api, Daging Lembu Masak Kari, Sambal Kupang, Sayur Campur, Acar Mentah dan macam - macam lagi.

Sambal Kupang yang disediakan oleh Along dari Seremban
Mak pula memasak Daging Lembu Masak Kari
Mama Kimie dari JB tolong menyediakan Itik Masak Lemak Cili Api
Seperti tahun - tahun yang lalu, sebelum menjamu selera telah diadakan Majlis Tahlil ringkas bagi mengingati mereka - mereka yang lebih dahulu pergi meninggalkan kami sekeluarga.

Kelihatan ayah (baju biru) sedang menjamu selera dengan ahli keluarga yang lain
Majlis diakhiri dengan pemberian duit raya kepada anak - anak yang hadir. Semoga majlis seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Undian Pusingan Ketiga Piala Carling

Brighton & Hove Albion telah diundi untuk menjadi tuan rumah kepada pasukan Liga Perdana Inggeris, Liverpool dalam Pusingan Ketiga Piala Carling. Perlawanan tersebut telah ditetapkan pada hari Rabu, 21 September 2011 jam 7.45 petang (kira - kira jam 2.45 pagi, 22 September 2011 di Malaysia), dan akan disiarkan secara langsung oleh Sky Sports. (Harap - harap ASTRO juga akan buat siaran langsung nie)

Berikut adalah undian penuh perlawanan Pusingan Ketiga Piala Carling:

Aldershot lwn Rochdale
Arsenal lwn Shrewsbury Town
Aston Villa lwn Bolton Wanderers
Blackburn Rovers lwn Leyton Orient
Brighton & Hove Albion lwn Liverpool
Burnley lwn MK Dons
Cardiff City lwn Leicester City
Chelsea lwn Fulham
Crystal Palace atau Wigan Athletic lwn Middlesbrough
Everton lwn West Bromwich Albion
Leeds United lwn Manchester United
Manchester City lwn Birmingham City
Nottingham Forest lwn Newcastle United
Southampton lwn Charlton Athletic atau Preston North End
Stoke City lwn Tottenham Hotspur
Wolverhampton Wanderers lwn Millwall

Selamat Bertunang Nur Ain

Pada hari Sabtu, 3 September 2011 yang lepas, bertempat di Kampung Semerbok, Astana Raja telah berlangsung Majlis Pertunangan Nur Ain dengan pasangannya dari Chemor, Perak (maaf yer aku terlupa nama tunangan Nur Ain ni)

Acara menyarung cincin
Nur Ain bersama sebahagian daripada hantaran bertunang
Nur Ain bergambar bersama ayah dan ibu beliau serta keluarga dari pihak lelaki
Aku mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Bertunang buat Nur Ain dan pasangannya.

Siapa Yang Harus Disalahkan?

Tempat mana yang tak ada sampah? Tapi adakah setiap tempat disediakan tempat pembuangan sampah?

Inilah yang berlaku di sepanjang laluan pejalan kaki dari Stesen Keretapi Seremban menuju ke Perhentian Bas Terminal 1 Seremban.

Lihatlah gambar di bawah ini. Sampah sarap berupa botol - botol plastik air mineral dan bungkusan makanan dibuang begitu sahaja. Tak ada tong sampah ker?
Siapa kata tong sampah tak disediakan? Lihatlah sendiri.... tong sampah punyalah besar tapi tak digunakan. Mengapa?

Inilah sikap kita pada hari ini. Ada kemudahan tong sampah, tapi tak reti nak guna. Siapa yang harus disalahkan?

Brighton..2 Peterborough United..0

Pasukan Brighton meneruskan persembahan cemerlang mereka dalam Liga Kejuaraan Musim 2011/12. Terbaru, mereka menewaskan pasukan Peterborough United 2 - 0 dalam perlawanan yang telah berlangusng di Stadium Amex pada 27 Ogos 2011 yang lalu.

Craig Noone menjaringkan gol pertama Brighton pada minit ke 10 dan Ryan Harley menjaringkan gol kedua pada minit ke 64 menerusi satu sepakan percuma yang cantik.

Pengurus pasukan Gus Poyet telah membuat satu pertukaran dari kesebelasan pemain yang mengalahkan pasukan Sunderland pada perlawanan pertengahan minggu, dengan Gary Dicker kembali tersenarai dalam kesebelasan utama.

Pemain tengah Ireland itu menggantikan Alan Navarro yang kembali ke bangku simpanan bersama Steve Cook.

Ryan Harley pula membuat penampilan pertama bersama pasukan Brighton.

Seramai 19,656 orang penonton telah hadir menyaksikan perlawanan yang menarik ini.

Dengan kemenangan ini, Liga Kejuaraan nPower musim 2011/12 ketika ini diungguli oleh pasukan Brighton yang mengumpulkan 13 mata daripada 5 perlawanan. Ini diikuti rapat oleh pasukan Southampton dan Derby County yang masing - masing mengutip 12 mata daripada 5 perlawanan juga.

Perlawanan seterusnya adalah menentang Bristol City di Ashton Gate, Bristol pada hari Sabtu, 10 September 2011.

Albion: (4-4-2) Ankergren; Calderon, Greer, Dunk, Painter; Dicker, Harley (Sparrow 72), Bridcutt, Noone (Navarro 72); Mackail-Smith (LuaLua 90), Barnes. Pemain simpanan yang lain: Brezovan (GK), Cook.

Selamat Hari Raya

Salam buat semua.

Aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54 kepada semua rakyat Malaysia.

Aku tak dapat mengemaskini blog ini sepanjang cuti hari raya yang lalu kerana kesuntukan masa. Aku terpaksa menjelajah dari KL ke Baling, Kedah. Kemudian ke Lubok China, Melaka. Lepas tu ke Kampung Astana Raja, Rembau. Seterusnya ke Seremban. Balik semula KL. Naik semula ke Baling sebelum tiba KL pada pagi tadi (5 Sept 2011) kira - kira jam 3 pagi....