Kerja – kerja pembinaan landasan di laluan Port Weld – Taiping bermula pada tahun 1881 dan dibuka kepada trafik pada 1 Jun 1885.
Laluan kedua menyambungkan Teluk Anson, sebuah pelabuhan yang agak besar di Perak ke Tapah Road pada tahun 1893 dan kemudiannya landasan ke Ipoh dibuka pada Mei 1895. Semasa pembinaan landasan Lembah Kinta, laluan Port Weld – Taiping yang juga dikenali sebagai Laluan Larut telah disambungkan sejauh sembilan batu ke Belanda Mabok (Ulu Sepetang) pada tahun 1892.
Laluan tambahan yang baru ke Larut ini tidak membawa banyak keuntungan sebagaimana laluan yang pertama ke Port Weld. Sebab utama kekurangan hasil ini adalah kerana berkurangnya sumber arang batu di Lembah Larut dan banyak lombong – lombong terpaksa ditutup.
Beberapa langkah telah diambil untuk mengurangkan perbelanjaan. Hanya beberapa tren beroperasi antara Port Weld dan Taiping. Lokomotif telah digunakan ke tahap maksima dan semua tren beroperasi sebagai tren campur. Langkah – langkah yang diambil ini telah berjaya mengurangkan perbelanjaan dari 75.05 peratus pada tahun 1894 kepada 70.28 peratus pada tahun 1895. Ini juga membawa kepada tambahan keuntungan dari $22,772 pada tahun 1894 kepada $25,739 pada tahun 1895.
Apabila sistem perhubungan terus diwujudkan di laluan Lembah Kinta pada tahun 1895, laluan antara Teluk Anson dan Ipoh telah membawa kepada pertambahan hasil pendapatan sebanyak dua kali ganda iaitu dari $151,590 pada tahun 1894 kepada $359,487 pada tahun 1895.
Menjelang 1896 Laluan Lembah Kinta telah dipanjangkan sehingga ke Chemor menjadikan jumlah panjang landasan adalah 63 batu (asal 51 batu). Pendapatan juga bertambah kepada $434,770. Kerja – kerja juga telah dimulakan untuk menyambungkan laluan sejuah 22 batu dari Chemor ke Kuala Kangsar. Laluan ini melalui landasan di Gunung Pondok pada gradient (satu dalam 100) dan melalui tiga terowong yang panjangnya 266, 200 dan 130 kaki setiap satunya.
Pada tahun yang sama Jabatan Lokomotif Ipoh siap memasang 36 buah gerabak yang mana roda, gandar, dan besi rangka bawah telah diimport. Jambatan, dermaga dan bangsal kargo Telok Anson juga diperbesarkan untuk menampung tiga kapal laut pada satu masa dan untuk kemudahan serta keselesaan pedagang – pedagang.
Residen British pada masa itu adalah F. A. Swettenham. Beliau mempunyai wawasan untuk meluaskan laluan Lembah Kinta ke Taiping dan laluan Larut ke Jajahan British iaitu Province Wellesley (Seberang Perai) dan menjangkakan akan mendapat peruntukan dari Jajahan Inggeris untuk meneruskan pembinaan landasan sehingga ke sempadan jajahan. Beliau merancang untuk menyambungkan landasan ke kawasan sebelah selatan dengan Keretapi Kerajaan Selangor.
Pembinaan laluan terus menghubungi Sungai Ujong dan ke arah Melaka dan Johor kini menjadi objektif utama. Pada Februari 1896, beliau telah mengemukakan satu memorandum mengenai cadangan tersebut. Perbincangan panjang lebar telah berlaku antara Sir Charles Mitchell, Setiausaha Kerajaan Negeri Singapura dan Pegawai di Pejabat Setiausaha Negeri Jajahan di London. Apabila Swettenham bercuti di England sebelum bertugas sebagai Residen Jeneral Persekutuan yang baru, Pegawai Negeri – Negeri Jajahan di London telah berpeluang meneliti cadangan – cadangan pembinaan keretapi tersebut.
Keretapi yang dibina di berlainan negeri adalah menggunakan tolok satu meter dan berat landasan adalah 46 ½ paun. Ia kemudiannya diubah kepada 60 paun bagi setiap rel. Ketajaman gradient adalah tidak melebihi 1 dalam 300 dan selekohnya adalah tidak melebihi dalam radius 15 rantai. Batasan – batasan ini kemudiannya telah dilonggarkan atas sebab – sebab tertentu.
Tambang penumpang adalah sebanyak enam, empat dan dua sen sebatu untuk kelas satu, dua dan tiga.
Menjelang tahun 1897, laluan Lembah Kinta telah dipanjangkan sehingga ke Sungai Siput menjadikan jarak landasan ketika ini adalah 71 batu. Ia telah menyumbangkan kepada peningkatan pendapatan sebanyak $28,176 berbanding tahun sebelumnya. Tetapi trafik barangan yang diangkut menggunakan Sungai Kinta merupakan satu saingan. Barangan seperti beras, minyak tanah dan barangan runcit dengan jumlah yang banyak masih dihantar melalui jalan air. Kerja – kerja tanah untuk sambungan landasan di Kampong Sungai Perak berhampiran Enggor sejauh 14 batu telah juga disiapkan. Dalam masa yang sama sejauh 23 batu landasan di Province Wellesley juga sedang pembinaan.
Kos untuk membina landasan sejauh 123 batu adalah $1,095,622 yang mana $695,000 adalah dari pendapatan semasa dan selebihnya adalah pinjaman Kerajaan Persekutuan. Pujian harus diberi kepada En. Hanson, Jurutera Residen Keretapi yang berjaya membuat kerja – kerja pembinaan di semua seksyen landasan sendirian. Pada pertengahan tahun, persetujuan diperolehi daripada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk berunding mengenai Pinjaman Persekuan sebanyak £500 iaitu anggaran 50 peratus dari jumlah untuk menyambung semua laluan tersebut. Dijangkakan dalam tempoh lima tahun, akan terdapat laluan terus keretapi Negeri – Negeri Persekutuan sehingga di sebelah barat Semenanjung Malaysia. Perkhidmatan feri akan menyambungkan dermaga yang akan dibina di Pulau Pinang dan Prai. Terminal di bahagian selatan adalah Port Dickson di mana bot – bot akan menyambungkan dengan Singapura.
Lembah Kinta terus mewujudkan pertambahan pendapatan pada tahun 1898 apabila laluan tersebut diperluaskan ke Enggor iaitu sejauh 8 batu. Pendapatan dari trafik penumpang sebulan adalah $221.80 iaitu lebih banyak daripada tahun sebelumnya. Kerja – kerja bagi pembinaan Jambatan Enggor yang merentasi Sungai Perak bermula pada tahun 1897 dan dihentikan pada bulan Disember kerana berlakunya banjir besar yang sebelum ini tidak pernah terjadi. Gelegar jambatan adalah setinggi 1,158 kaki iaitu jambatan terbesar di Semenanjung ketika itu yang mempunyai 7 perentang yang setiap satunya 150 kaki panjang. Banjir yang paling besar adalah setinggi 50 kaki dari paras biasa sungai berbanding dengan 22 kaki yang pernah berlaku sebelum ini. Oleh yang demikian paras landasan pada jambatan adalah dibina pada para 40 kaki atas paras biasa sungai.
Pada tahun yang sama, 62 buah gerabak batu kerikil, 6 van brek, 32 gerabak tertutup dan satu lokomotif telah dipasang. Panjang laluan di Province Wellesley kini adalah 23 batu dan kerajaan penjajah telah memberikan tanah kerajaan yang diperlukan, secara percuma, berjumlah 19 ekar bagi tujuan pembinaan landasan. Perolehan tanah dari orang – orang persendirian adalah sangat mahal.
Satu kejadian yang menimbulkan tandatanya telah berlaku berhampiran Tapah apabila seekor gajah jantan yang masih muda melanggar keretapi. Tiada kerosakan yang berlaku tetapi telah melewatkan perjalanan tren selama setengah jam. Gajah tersebut terbunuh dan tanduknya kini disimpan di Muzium Negara. Anda mungkin dapat mengingati peristiwa sebelumnya yang berlaku di Bidor di mana tanda peringatan atau memorial masih teguh berdiri di tempat kejadian.
Pada Julai 1899, operasi pertama keretapi di Province Wellesley telah dibuka oleh Pesuruhjaya Tinggi Sir Charles Mitchell dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Ini merupakan peristiwa bersejarah memandangkan ia merupakan keretapi pertama di negeri jajahan. Pada akhir dekad 1900 panjang landasan di Perak dan Province Wellesley adalah 137 batu yang menyumbangkan hasil sebanyak $1,017,618 dan membawa keuntungan sebanyak $503,510 atau lebih kurang 50 peratus. Ini merupakan pencapaian yang membanggakan.
Pada 1 September 1900, seksyen terakhir landasan dibina antara Bukit Mertajam dan Nibong Tebal sejauh 14 batu disiapkan dan pertama kalinya penumpang dibawa dari Perak ke penempatan di Pulau Pinang. Malangya, disebabkan kelewatan pembekalan besi untuk kerja – kerja pembinaan Jambatan Sungai Kerian, telah menyebabkan perkhidmatan feri diperkenalkan untuk kemudahan penumpang.
Pada 1 November 1900 stesen Tanjung Malim di sempadan Negeri Selangor dibuka. Jambatan Victoria yang merentasi Sungai Perak telah disiapkan dan dibuka pada 21 Mac 1900 oleh Residen Jeneral Sir Frank Swettenham. Sejumlah 864 tan besi untuk membina jambatan bernilai $454,322 telah diangkut dalam masa 28 bulan.
Feri wap mula beroperasi antara Prai dan Pulau Pinang dan pada 1901 membawa 274,104 orang penumpang dengan purata 745 orang penumpang sehari. Laluan sambungan ini menyediakan perhubungan dari selatan Pulau Pinang meretasi Selangor hingga ke Negeri Sembilan.