Friday, 30 August 2013

Perkhidmatan KTM Komuter Di Stesen Keretapi Rembau

Bermula pagi tadi (30 Ogos 2013), perkhidmatan KTM Komuter telah dilarikan bagi sektor Rembau - Rawang - Rembau. 

Walaupun untuk permulaan ini hanya tiga larian bermula dari Rembau dan juga tiga perkhidmatan berakhir di Rembau, tidak bermakna orang-orang di Rembau dipinggirkan. 

Inilah masanya orang-orang di sekitar Rembau membalas kepercayaan kepada perkhidmatan KTM Komuter dengan naik beramai-ramai agar jumlah tren akan ditambah pada masa akan datang. 

Ini adalah satu lagi kemudahan untuk penduduk sekitar Rembau kerana sebelum ini pihak KTMB telah menjadualkan pemberhentian Tren Antarabandar iaitu Tren Sinaran Selatan No.12 & 13.
 
Tren Sinaran Selatan No.13 berhenti di Stesen Rembau pada jam 10:15 pagi manakala Tren Sinaran Selatan No.12 pula berhenti di stesen ini pada jam 20:09 malam.
 
Khabarnya kadar tambang perkhidmatan komuter yang dikenakan adalah berpatutan sesuai dengan perkhidmatan tren yang cekap dan pantas. Suasana di dalam komuter juga selesa dan sesuai untuk semua. 
 
Tambang yang dikenakan sekitar dari Rembau ke Sg Gadut (RM1.60), Rembau ke Seremban (RM2.60), Rembau ke Kajang (RM5.80), Rembau ke Bandar Tasek Selatan (RM6.90), Rembau ke Kuala Lumpur Sentral (RM7.50) dan Rembau ke Rawang (RM9.50).  
 
Jika menaiki bas henti-henti dari Seremban ke Rembau pula, tambangnya RM 3.00 dan perjalanan mengambil masa antara 20 minit hingga sejam, bergantung kepada keadaan jalanraya. Itu belum lagi masuk bab berebut tempat duduk ataupun berdiri di sepanjang perjalanan. Serik aku bila kadangkala terpaksa naik bas berhimpit-himpit dari Seremban ke Pekan Kota, sebelum meneruskan perjalanan balik ke kampung aku di Astana Raja tu dengan menaiki 'teksi sapu'. Kalau naik bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Tampin, tambangnya pula adalah RM 10. Kena bayar penuh walaupun turun separuh jalan!

Tambang konsesi dengan diskaun 50 peratus juga diberikan kepada warga emas, orang kelainan upaya dan kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun manakala perjalanan adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah empat tahun.
Dengan adanya perkhidmatan KTM Antarabandar dan KTM Komuter, diharap agar semua penduduk Rembau dan kawasan sekitarnya beralih mod pengangkutan mereka dari menaiki teksi atau bas, dengan menaiki keretapi pula. 
 
Dalam pada itu, harus diingatkan kepada semua pengguna yang menggunakan Stesen Keretapi Rembau samada untuk menaiki Tren Antarabandar ataupun KTM Komuter agar menjaga keselamatan masing-masing terutamanya berkaitan dengan arus elektrik setinggi 25,000 volt.
Kepada semua penduduk kampung 'den', apa lagi jom la kita sama-sama naik keretapi pergi ke Seremban ataupun Kuala Lumpur. Kalau naik komuter boleh terus sampai ke Rawang dan tukar tren untuk pergi ke Tanjung Malim.
 
Untuk Ayah dan Mak, perjalanan menaiki keretapi kini lebih mudah. Dari Astana Raja atau Lubok China, naik teksi terus ke Stesen Keretapi Rembau. Kemudian naik komuter terus ke Stesen Keretapi Serendah. Tiba Serendah, melintas jalan untuk sampai ke rumah Kak Ngah Tipah. Mudahkan......
 
Antarabandar dah naik, SCS dah tengok, agak-agaknya bila orang Rembau boleh kenal dengan ETS?

Tuesday, 27 August 2013

Tahukah Anda - Stesen Taiping Kini Sebuah Perhentian?

Tahukah anda mulai 02 Mei 2013 yang lalu, Stesen Taiping telah ditutup sebagai stesen operasi. Kini stesen tersebut status sebagai perhentian penumpang. Jika benar perkara itu berlaku, maka peta di bawah boleh menyokong statusnya sebagai Perhentian Taiping atau Taiping Halt.
Adalah amat malang sekali setelah berkhidmat sejak dari tahun 1885, kini Taiping hanya mempunyai sebuah perhentian keretapi. Stesen Keretapi Taiping yang dahulunya menjadi kebanggaan penduduk setempat, bakal lenyap ditelan arus Projek Landasan Berkembar Elektrifikasi Ipoh - Padang Besar.

Gambar di bawah aku ambil dari laman sesawang rasmi Projek Landasan Berkembar Ipoh Padang Besar (http://www.2t.com.my) yang menunjukkan Perhentian Taiping dalam tahap akhir pembinaan.
Gambar di bawah ini pula menunjukkan Perhentian Taiping dalam pembinaan.



Manakala gambar di bawah ini sekadar mengimbau kembali kenangan mengambil gambar sewaktu menaiki tren melewati Stesen Taiping.

Tinggallah sejarah gemilang Stesen Taiping. Lembaran baru sebagai sebuah perhentian kini sudah bermula.

Cadangan Projek Jalan Keretapi Johor Bahru

Lakaran di atas adalah satu cadangan yang dikemukakan oleh Syarikat Masteel untuk membangunkan landasan berkembar di kawasan Johor Bahru. Cadangan juga merangkumi landasan tunggal dari Kempas Bharu ke Pasir Gudang dan dari Kempas Bharu ke Tanjung Pelepas.

Lakaran yang kedua ini bentuknya lebih kurang sama dengan cadangan di atas tetapi berbeza dari segi jumlah stesen dan perhentian.

Mungkin akan berlaku wujudnya sebuah stesen keretapi yang lebih besar seperti JB Sentral di sepanjang laluan utama dari Kulai ke Woodlands. Aku berpendapat mewujudkan sebuah stesen besar seperti Kempas Sentral sudah cukup untuk memberi kemudahan kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan rel tanpa perlu menukar kepada perkhidmatan bas atau teksi.

Atau mungkin akan ada perkhidmatan keretapi ringan (Light Rail Transit - LRT) seperti yang ada di Lembah Klang menghubungkan tempat-tempat yang sering menjadi tumpuan bagi mengurangkan kesesakan jalanraya.

Tak kiralah cadangan mana yang akan digunakan pakai, asalkan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar Bandaraya Johor Bahru akan menjadi lebih mudah.