Thursday 28 May 2009

Keretapi Lembah Kinta

Landasan keretapi yang pertama di Semenanjung Malaysia selanjutnya telah dikenali sebagai Keretapi Larut hingga ke Kamunting dan ke utara manakala di sebelah selatan adalah sehingga ke Kuala Kangsar dan Ipoh. Pada masa yang sama tumpuan adalah diberi terhadap kepesatan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Kinta. Daripada 978 lombong-lombong bijih di Perak pada tahun 1988, hanya 273 terdapat di Larut dan 478 berpusat di Kinta yang mana pengeluaran bijih timah sama banyaknya berbanding dengan di Larut. Memandangkan aktiviti perlombongan dan pengeluaran bijih timah semakin meningkat, maka satu sistem pengangkutan yang cekap dan selesa adalah sangat diperlukan iaitu sepanjang laluan dari Ipoh hingga ke Teluk Anson di bahagian selatan Perak.

Teluk Anson, yang kini dikenali sebagai Teluk Intan, terletak lebih kurang 34 batu dari Sungai Perak dan ketika itu merupakan sebuah pelabuhan yang berpotensi.

Selain daripada pengangkutan sungai, pada tahun 1888 terdapat hanya 738 kereta lembu dan 445 kereta kerbau yang memberi perkhidmatan pengangkutan di seluruh negeri Perak. Pada tahun 1889 jumlah penduduk di Kinta adalah lebih kurang 4,000 orang Melayu (di Larut 11,000 orang), 900 orang China (di Larut 16,000 orang) dan 800 orang lain-lain bangsa (di Larut 4,000 orang). Dengan latarbelakang ini serta objektif untuk membuka sebuah negeri, maka pembinaan sistem keretapi di Lembah Kinta telah dimulakan pada tahun 1889 dan kemudiannya menjadi sebahagian daripada Keretapi Negeri Perak.

Pembinaan tersebut telah dijalankan secara kontrak dan dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor Ipoh hingga ke Batu Gajah, sektor Tapah dan sektor di sebelah timur Teluk Anson. Berikutan dengan kelewatan teruk di pihak kontraktor dalam melaksanakan kerja-kerja pembinaan menyebabkan ia telah diambilalih oleh pihak keretapi dan pembinaan tersebut telah dapat disiapkan pada tahun 1893.

Laluan di Teluk Anson ke Batu 16 telah siap dan dibuka untuk trafik pada hari Khamis, 18 Mei 1893. Sektor ini termasuklah pembinaan Jambatan Bidor yang merentasi Sungai Bidor sepanjang 1¾ batu dari Teluk Anson. Pembinaan jambatan 550 kaki ini merupakan jambatan yang terpanjang di Semenanjung dan dikatakan satu kejayaan di bidang kejuruteraan ketika itu, mengalahkan rekod yang dipegang oleh Jambatan Connaught merentangi Sungai Klang. Pada akhir tahun 1893, didapati kos pembinaan keseluruhan jambatan tersebut menjangkau $1,780.091.

Semasa mengadakan majlis pembukaan pada 18 Mei, 1893, lokomotif dan stesen Teluk Anson telah dihias indah. Sebuah tren khas disediakan untuk membawa Tuan Yang Terutama Gabenor, Lady Clementi Smith, Residen Negeri Perak, Jurutera Residen Keretapi dan Puan Hanson dan lain-lain pegawai, telah meninggalkan Teluk Anson pada jam 11 pagi, menuju ke terminal Batu 16 dan berhenti di Stesen Bidor apabila Lady Smith dengan rasminya melakukan kerja memukul paku landasan dengan menggunakan tukul yang diperbuat dari timah Negeri Perak. Di terminal Batu 16 pula, satu lagi upacara dilakukan iaitu perasmian landasan keretapi oleh Tuan Yang Terutama Gabenor selepas penyampaian ucapan rasmi beliau.

Kos pembinaan landasan di Batu 16 ini adalah $705,000, termasuk pembinaan jambatan. Hasil pendapatan sehingga pertengahan tahun pertama operasi hanyalah $12,029. Hasil pendapatan yang tidak begitu menggalakkan ini adalah kerana kelewatan pembinaan jalan kereta lembu yang menghubungkan Batu 16 ke Tapah.

Pada tahun 1893, keretapi beroperasi di tiga seksyen-seksyen yang pendek. Lokomotif dan stokereta dibawa dengan bot melalui sungai, seterusnya dipasang untuk memulakan operasi.

Seksyen antara Batu Gajah dan Ipoh telah dibuka secara tidak rasmi oleh DYMM Sultan pada 17 Oktober 1893, dan kemudiannya dibuka dengan rasminya oleh DYMM Sultan pada bulan Februari, 1894. Satu lagi seksyen dari Batu Gajah ke Kota Bahru celah dibuka pada 27 April pada tahun yang sama. Seksyen Batu 7 dari Tapah Road ke Talam telah dibuka pada 29 September dan sambungan Batu 3 ke Kampar telah dibuka pada tahun 1895. Pada awal tahun 1895 terdapat 42 batu panjang landasan keretapi di laluan Lembah Kinta (24¼ batu dari Teluk Anson ke Talam dan 17¾ batu dari Kota Bahru ke Ipoh) dan pembinaan diteruskan di kedua- dua seksyen. Komunikasi telah diwujudkan pada 1 Mac 1895. Ini telah memberi sumbangan terhadap peningkatan hasil pendapatan bulanan dari $20,000 hingga 536,000.

Dermaga sampan dan bangsal barang yang dibesarkan juga disediakan di Teluk Anson. Kadar harga istimewa ditawarkan dan keseluruhan trafik bijih timah yang mcnggunakan laluan sungai telah beralih menggunakan pengangkutan rel. Tambangnya juga dikurangkan untuk menarik lebih ramai pengguna jalan air bertukar menggunakan laluan rel. Pada tahun 1895 seramai 326,884 orang penumpang telah menggunakan keretapi dan mendatangkan hasil sebanyak $152,863, Pendapatan dari pengangkutan barang adalah sebanyak $206,624 menjadikan keseluruhan pendapatan sebanyak $359,487 berbanding dengan $600.000 seperti yang dijangkakan. Perbelanjaan kapital pada ketika itu ialah $2,600.000.

Peristiwa yang meninggalkan kenangan di landasan ini ialah apabila perlakuan seekor gajah liar telah menyebabkan tren penumpang tergelincir berdekatan dengan Jambatan Bidor pada 17 September 1894. Pemandu tren serta Pembantu loko tercampak ke dalam hutan. Walaupun tiada seorang penumpang yang mengalami kecederaan namun gajah tersebut iaitu gajah jantan yang besar dengan belalainya tujuh kaki panjang telah terbunuh. Sebagai kenangan, satu papan tanda telah dibina di tempat kejadian dan satu daripada tulang kaki gajah tersebut telah dijaga dengan baik uncuk dijadikan bahan sejarah untuk Muzium KTMB yang kini dalam proses perancangan.

No comments:

Post a Comment