Wednesday 11 April 2012

Brighton..0 Reading..1


Dua kekalahan daripada dua perlawanan terakhir, seolah-olah menggambarkan bahawa pasukan Brighton bukanlah sebuah pasukan yang sesuai untuk beraksi dalam Liga Perdana England pada musim akan datang.

Kekalahan 0-1 di tempat sendiri kepada Reading pada hari Selasa, 10 April 2012 yang lalu menceritakan segala-galanya. Dari tindakan penyudah yang melepaskan banyak peluang untuk menjaringkan gol termasuk kegagalan Ashley Barnes menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-51, sehinggalah kepada longlainya barisan pemain tengah untuk mengekang jentera serangan Reading. Cuma apa yang boleh dibanggakan adalah keupayaan pemain pertahanan menutup  kelemahan pemain tengah pada sepanjang perlawanan.

Gus Poyet membuat dua perubahan pemain daripada barisan pemain yang tewas 0-1 di Burnley pada hari Jumaat, minggu sebelumnya, dengan memanggil semula Will Buckley dan Ashley Barnes. Buckley menggantikan Joe Mattock dan bermain di bahagian tengah, manakala Barnes mengambil tempat Sam Vokes untuk berpasangan dengan Craig Mackail-Smith di bahagian serangan; Gonzalo Jjara Reyes - yang bermain sebagai pemain tengah pada perlawanan sebelum ini, diturunkan pula sebagai pemain pertahanan kiri dalam perlawanan ini.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-15 menerusi Ian Harte berpunca dari satu tendangan percuma di luar kota penalti Brighton. Bola sepakan Harte terkena benteng pertahanan Brighton dan terus menerjah ke jaring.

Para penyokong Brighton seramai 20,610 turut menyaksikan beberapa percubaan ‘The Seagull’ terkena palang gol atau diselamatkan oleh barisan pertahanan Reading terutamanya penjaga gol, Adam Federici.

Dengan kekalahan ini, Brighton turun ke tangga ketujuh liga dengan mengutip 63 mata daripada 42 perlawanan. Southampton dan Reading pula terus mengesahkan kedudukan mereka untuk bermain dalam EPL pada musim akan datang. Kedua-dua pasukan kini mengumpulkan 82 mata daripada 42 perlawanan. West Ham United di tangga ketiga dengan 76 mata, diikuti Birmingham (70 mata), Blackpool City (67 mata) dan Cardiff City (65 mata). Di belakang Brighton pula adalah Middlesbrough, Leicester City dan Hull City.

Perlawanan berikutnya adalah menentang West Ham United di Upton Park pada hari Sabtu, 14 April 2012.

SENARAI PEMAIN

Brighton: (4-4-2) Peter Brezovan; inigo Calderon, Gordon Greer, Adam El-Abd, Gonzalo Jara Reyes; Alan Navarro, Gary Dicker, Rodrigues Vicente, Will Buckley (Kazenga LuaLua 67); Ashley Barnes (Gai Assulin 82), Craig Mackail-Smith (Sam Vokes 82). Pemain simpanan yang lain: Casper Ankergren (GK), Marcos Painter.

Reading: (4-5-1) Adam Federici; Shaun Cummings, Alex Pearce, Kaspars Gorkss, Ian Harte; Jimmy Kebe, Noel Hunt (Simon Church 79), Hayden Mullins, Tomasz Cywka (Brynjar Gunnarsson 60), Jobi McAnuff; Jason Roberts. Pemain simpanan yang lain: Alex McCarthy (GK), Adam Le Fondre, Benik Afobe.

No comments:

Post a Comment