Bertempat di perkarang Masjid As Siddiq, Seri Iskandar pada 24 September 2015 yang lalu, telah diadakan Majlis Korban sempena Hari Raya Aidil Adha Tahun 1436 Hijrah.
Sebanyak tujuh ekor lembu telah dikorban pada pagi tersebut di mana ianya adalah korban dari penduduk setempat.
Oleh kerana aku pada pagi itu ke Kampung Aji, Bota Kiri kerana menziarahi jenazah isteri jiran aku, maka aku terlepas peluang untuk mengambil gambar sewaktu lembu - lembu itu disembelih.
Setibanya aku di masjid, kerja - kerja melapah sedang dijalankan oleh orang ramai yang khabarnya sejak dari awal lagi telah memenuhi masjid (sebelum Solat Sunat Aidil Adha bermula).
Tetapi aku mengambil 'langkah selamat' dengan menikmati sarapan pagi yang telah disediakan oleh pihak masjid berupa nasi lemak, kuih muih, teh tarik dan sebagainya.
Sesudah sarapan aku mula menjenguk ke tempat orang melapah daging kerana kerja-kerja aku bermula apabila semua daging-daging dan tulang-tulang itu siap dibahagi - bahagikan.
Tetapi kerja aku bukanlah untuk mengagihkan daging korban kerana tugas itu sudah ada orang yang dilantik. Tahun ini pihak masjid telah menggunakan kupon dengan slogan '1 Rumah 1 Kupon' yang bermakna setiap sebuah rumah hanya boleh dapat sekilo daging sahaja.
Kerja - kerja melapah, memotong dan membungkus daging dan tulang giat dijalankan. Ramai yang membantu tak kira orang Melayu, Bangladesh, Indonesia, Nepal, Siam dan dari lain - lain negara yang pada pandangan aku adalah para pelajar IPTA / IPTS yang ada di sekitar Seri Iskandar ini.
Sesudah aku mengumpulkan daging dan tulang untuk dimasak, aku mula membawanya ke tempat masak untuk proses mencuci daging dan tulang.
Pada waktu yang sama, tukang masak telah memasak nasi putih dan kaum ibu pula sibuk menyediakan ulam - ulaman bersama sambal belacan.
Sementara menunggu daging dan tulang dicuci, kerja - kerja menumis rempah ratus untuk memasak kari dijalankan.
Di dapur bersebelahan, ada yang mula menumis bahan - bahan untuk sup daging.
Di bahagian tepi tempat masak, kelihatan beberapa orang sedang membersihkan perut lembu.
Suasana semakin meriah apabila kari dah nak siap.
Dalam masa yang sama, di khemah utama pemberian daging korban sedang dilakukan. Jom kita tengok apa yang sedang berlaku di sana....
Menjelang masuk waktu Solat Zuhur, semua yang hadir telah menikmati makan tengahari yang telah disediakan dengan penuh berselera.
Tidak ketinggalan warga asing yang mencari rezeki di sini turut makan bersama - sama dengan penduduk setempat.
Selesai makan, kerja - kerja pembersihkan telah dilakukan dan semua pulang ke rumah untuk berehat dan Solat Zuhur.
Semoga aktiviti seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan berkerjasama yang baik sepanjang majlis ini diadakan.
No comments:
Post a Comment