Di atas adalah salah satu contoh jadual perjalanan keretapi yang pernah digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu. Jadual yang mula digunakan mulai 01 Disember 1947 itu mengandungi semua perjalanan tren yang ada pada masa itu.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui fungsi sesebuah tren penumpang. Aku ceritakan serba sedikit tentang kategori keretapi penumpang yang ada pada masa itu.
Perkhidmatan keretapi penumpang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:
a. Keretapi Ekspres / Keretapi Terus Menerus / Keretapi Sombong.
b. Keretapi Mel
c. Keretapi Tempatan
d. Keretapi Campur.
Keretapi Ekspres (ada sesetengah jadual menulis sebagai Through Train) adalah perkhidmatan terus menerus yang hanya akan berhenti di berhenti di beberapa buah stesen tertentu. Keretapi ini biasanya cepat sampai di stesen akhir berbanding dengan keretapi penumpang yang lain. Contoh keretapi ekspres ini adalah Ekspres Rakyat, Ekspres TImuran, Ekspres Wau atau Ekspres Langkawi. Manakala laluannya adalah antara Prai – Kuala Lumpur, Kuala Lumpur – Singapura, Kuala Lumpur – Haadyai, Kuala Lumpur – Tumpat atau Tumpat – Singapura.
Keretapi Mel (Mail Train) adalah perkhidmatan henti-henti jarak sederhana. Ianya membawa penumpang, surat, bungkusan, suratkhabar, basikal atau motorsikal. Keretapi ini dilarikan samada di waktu pagi atau malam. Ianya akan berhenti di semua stesen dan perhentian di sepanjang laluan. Laluannya yang popular adalah Butterworth – Kuala Lumpur, Kuala Lumpur – Singapura atau Gemas – Gua Musang.
Keretapi Tempatan (Local Train / Ordinary Train) adalah perkhidmatan henti-henti jarak dekat. Biasanya ia membawa penumpang dan satu atau dua gerabak barang. Keretapi ini juga akan berhenti di semua stesen dan perhentian di sepanjang laluan. Keretapi tempatan ini biasanya beroperasi di antara Butterworth – Padang Besar, Tapah Road – Teluk Anson, Kuala Lumpur – Pelabuhan Klang, Kluang – Singapura atau Tumpat – Gua Musang.
Keretapi Campur (Mixed Train) adalah keretapi yang membawa penumpang dan gerabak barang. Ianya akan berhenti dan membuat langsiran gerabak barang di stesen-stesen yang telah ditetapkan. Keretapi campur ini adalah keretapi yang paling lambat tiba di stesen penghujung jika hendak dibandingkan dengan keretapi-keretapi yang lain.
Sesungguhnya perkhidmatan keretapi penumpang ini amat penting sebelum adanya jalanraya atau lebuhraya yang baik. Jalanraya dahulu tidaklah sebaik jalanraya yang ada pada hari ini. Penduduk kampung di sepanjang laluan keretapi menanti-nanti akan ketibaan keretapi untuk membolehkan mereka membawa hasil-hasil kampung untuk dijual di bandar-bandar besar. Hasil jualan yang diperolehi membolehkan mereka membeli barang keperluan harian yang pada masa itu agak sukar untuk diperolehi di kampung masing-masing.
No comments:
Post a Comment