Salam Sejahtera dan apa khabar semuanya? Musim sekarang ni kita semua sedang berperang menentang Covid 19. Aku sarankan kalian semua untuk duduk di rumah sekiranya tiada apa-apa keperluan untuk keluar rumah. Jika hendak berbelanja membeli barangan keperluan dapur, carilah hari dan masa yang sesuai untuk kalian membeli belah.
Hari ini aku nak menulis tentang salah satu laluan keretapi yang pernah wujud dalam Negeri Selangor iaitu laluan keretapi dari Padang Jawa ke Kuala Selangor yang juga dikenali sebagai Landasan Cawangan Kuala Selangor (Kuala Selangor Branch Line).
Seingat aku, sebelum ini aku pernah menyiarkan satu hantaran berkaitan dengan laluan keretapi ke Kuala Selangor. Malangnya aku sendiri tidak menyangka bahawa hantaran itu 'hilang' walaupun ramai yang menulis tentang landasan Kuala Selangor memberi kredit atau penghargaan kepada blog ini. Mungkin ada kesilapan di mana-mana atau ianya telah dengan tidak sengaja aku terpadam atau apa-apa saja yang boleh berlaku.
Oleh yang demikian, aku hantar semula sebahagian daripada cerita berkaitan dengan landasan Kuala Selangor ini. Banyak juga hantaran atau video yang menceritakan tentang landasan ini dan aku ambil apa-apa fakta yang aku rasa perlu untuk dikongsi bersama.
Terima kasih kepada pemilik link di bawah ini kerana sudi berkongsi cerita tentang landasan ke Kuala Selangor:
b. RIDING TALES
c. Video oleh JENUT TN
Selain daripada itu, aku juga banyak mendapat maklumat tentang laluan ini daripada Arkib Negara Malaysia (http://ofa.arkib.gov.my/portal/index.php/en/), Lembaga Perpustakaan Kebangsaan Singapura (https://eresources.nlb.gov.sg/main), keratan laporan tahunan FMSR dan majalah-majalah / buku-buku lama.
Kuala Selangor ada sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 41 kilometer atau 30 batu dari Bandar Klang. Ianya boleh dikatakan terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Bandar Klang dengan Bandar Teluk Anson. Pekerjaan utama penduduk di sini adalah menoreh getah, bertani, nelayan dan menjadi kakitangan kerajaan serta swasta.
Kalian boleh merujuk kepada dua keratan akhbar di bawah untuk awal mula perancangan dan pembinaan landasan ke Kuala Selangor ini.
Landasan keretapi ke Kuala Selangor ini mula dibina dalam tahun 1911 dan pada 1 Februari 1913 laluan dari Simpang Jambatan Connought ke Kapar telah dibuka. Panjang landasan ini adalah sejauh 11 batu dan 62 rantai.
Pada 1 Jun tahun yang sama, laluan telah dipanjangkan lagi sejauh 7 batu dan 63 rantai ke Pekan Jeram. Manakala pada 1 September pula, sambungan landasan sejauh 5 batu dan 47 rantai telah sampai di Assam Jawa. Keretapi telah sampai di Kuala Selangor pada 15 Februari 1914 iaitu bagi jarak 4 batu dan 36 rantai dari Assam Jawa.
Hasil dagangan yang kerap diangkut dengan menggunakan perkhidmatan keretapi adalah getah, kopi, barangan makanan, barangan binaan, jentera berat dan bungkusan (parcel) serta surat.
Mari kita jelajah satu per satu stesen dan perhentian yang ada di sepanjang laluan ini.
Bermula dengan Stesen Simpang Jambatan Connaught atau Connaught Bridge Junction Station. Stesen ini adalah penyambung laluan Kuala Selangor dengan landasan laluan ke Pelabuhan Klang dan ke Kuala Lumpur. Jika dilihat dari dalam peta, seolah-olah stesen keretapi ini terletak dalam satu segi tiga yang terbina hasil dari laluan Padang Jawa - Klang Utara, Padang Jawa - Klang dan Klang Utara - Klang.
Dua batu ke arah utara selepas Simpang Jambatan Connaught adalah stesen Klang North. Stesen ini penting kerana barang dagangan dipunggah masuk dari tongkang yang berlabuh di sungai berhampiran.
Kemudian kita akan temui Perhentian Sungei Putus yang terletak hampir dua batu jaraknya dari Stesen Klang North. Perhentian ini tidak bertahan lama kerana ditutup disebabkan oleh kekurangan penumpang. Namun begitu, sebuah perhentian baru dibina di sebuah penempatan yang dikelilingi oleh ladang-ladang getah. Perhentian ini diberi nama Perhentian Rantau Panjang.
Satu batu ke utara Perhentian Rantau Panjang adalah Perhentian Parit Chabang. Perhentian ini ramai penduduk yang memunggah masuk gambir untuk dibawa ke Pelabuhan Kuala Selangor.
Seterusnya adalah Stesen Vallambrosa. Ianya terletak satu batu dari Perhentian Parit Chabang. Stesen ini penting untuk pengusaha ladang kopi dan getah yang terletak berhampiran dengan stesen. Di stesen ini juga terdapat perkhidmatan telegraf dan perkhidmatan pos untuk pengiriman surat dan bungkusan.
Perhentian seterusnya Perhentian Sungei Perepat. Tidak ada banyak maklumat yang diperolehi tentang perhentian ini.
Begitu juga dengan perhentian seterusnya iaitu Perhentian Kapar Ilir yang terletak satu setengah batu dari Perhentian Sungei Perepat. Tidak banyak yang diketahui tentang perhentian ini yang dibina berhampiran kawasan sawah padi.
Satu batu dari perhentian ini adalah Stesen Kapar. Dikhabarkan bahawa stesen ini adalah sebuah stesen yang agak penting. Di sinilah lokomotif wap mengisi air untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Selangor atau untuk ke Simpang Jambatan Connaught.
Pada masa itu, Pekan Kapar adalah sebuah pekan besar dalam daerah Kuala Selangor. Banyak ladang getah dibangunkan di sebelah timur dan terdapat kawasan sawah padi di sebelah barat. Pekan ini membangun depat begitu pesat sekali dan dengan pengaruh dari pengurus-pengurus ladang, jalanraya mula dibina menghubungkan Pekan Kapar dengan Bandar Klang di selatan dan Pekan Kuala Selangor di utara.
Melepasi Stesen Kapar, laluan keretapi akan melalui beberapa perhentian seperti Perhentian Sungai Pulau (12½ batu dari Simpang Jambatan Connaught (SJC)), Perhentian Jalan Acob (13 batu dari SJC) dan Perhentian Sungai Serdang (14 batu dari SJC) sebelum tiba di Stesen Suara atau Stesen Bunyi.
Stesen Suara atau Stesen Bunyi ini mempunyai misterinya yang tersendiri. Ada peta menulisnya sebagai Stesen Suara dan ada juga peta yang menulis sebagai Bunyi. Walau apa pun namanya, ianya terletak di tempat yang sama. Ianya sebuah pekan kecil untuk ladang-ladang getah berhampiran dan juga penghuni kampung-kampung nelayan mendapatkan barangan keperluan harian. Stesen ini terletak 15½ dari SJC.
Selepas Stesen Suara/Bunyi laluan keretapi akan melalui Perhentian Sungai Sembilan (kira-kira 17¾ batu dari SJC) sebelum tiba di Stesen Jeram (kira-kira 19½ dari SJC). Dikatakan bahawa masih ada lagi peninggalan tapak Stesen Jeram ini berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Jeram. Boleh rujuk kepada rakaman video saudara Jenut TN seperti yang telah aku maklumkan di awal tadi.
Seperti pekan-pekan yang lain, Pekan Jeram juga adalah tempat untuk penduduk sekitarnya untuk mendapatkan barangan keperluan harian. Di sebelah timur Pekan Jeram adalah kawasan ladang getah manakala di sebelah baratnya pula adalah perkampungan orang Melayu dan juga perkampungan nelayan.
Tidak jauh dari Stesen Jeram ini adalah Stesen Raja Abdullah (kira-kira 21 batu dari SJC).
Pentingnya Stesen Raja Abdullah ini adalah kerana ianya menjadi tumpuan kepada pekerja-pekerja lombong Kuari Bukit Jeram yang terletak tidak jauh dari kampung ini.
Stesen berikutnya adalah Stesen Sasaran yang terletak kira-kira 22¼ batu dari SJC. Stesen ini terletak di sebelah timur Pekan Sungai Buloh, Kuala Selangor.
Laluan keretapi kemudiannya melalui Jambatan Kampung Pasir Tuntung, Perhentian Bukit Changkot ( 24¼ dari SJC) sebelum tiba di Stesen Assam Jawa di kedudukan 25¼ batu dari SJC.
Melepasi Perhentian Jalan Banjar adalah Stesen Teluk Piai (28¼ batu dari SJC), Stesen ini banyak mengendalikan getah cari (latex) yang diperolehi dari Ladang Getah Teluk Piah untuk dihantar ke Pelabuhan Klang. Ada satu cabang landasan dibina oleh pengusaha ladang terus ke tempat pengumpulan susu getah.
Demikianlah serba sedikit sejarah Laluan Keretapi Kuala Selangor. Terima kasih tak terhingga kepada semua yang telah menyumbang kepada penghantaran ini. Harap maaf sekiranya terdapat kesilapan dan harap kalian dapat menegur jika ada apa-apa yang tidak kena atau tidak betul.
Jumpa lagi pada lain kesempatan.
No comments:
Post a Comment