Saturday, 3 July 2021

Sejarah Pembukaan Landasan Port Weld (Siaran Ulangan)

SIARAN ULANGAN DARI KIRIMAN PADA 7 MAC 2011 ATAS TAJUK YANG SAMA

Sejarah Pembukaan Landasan Port Weld

Ianya bermula pada 20 Februari 1880 apabila kerajaan meluluskan rancangan pembinaan jalan keretapi dari Taiping ke Teluk Kertang. Serentak dengan itu, kerja-kerja mengukur tapak landasan juga telah dimulakan. Namun atas faktor kemajuan masa depan, akhirnya landasan yang pertama di negara ini telah dibina menghubungkan Taiping dengan Kuala Sepetang. (Yang kedua jika landasan kayu antara Johor Bahru dengan Gunung Pulai diambil kira).

Oleh kerana ketiadaan Jurutera yang berpengalaman untuk membina jalan keretapi ini, seorang pekerja telah dibawa masuk dari kerajaan Ceylon (Sri Lanka) bagi membantu membina landasan ini.

Beberapa buah stesen dan perhentian telah dibina di sepanjang laluan sejauh 8½ batu itu. Antaranya adalah stesen di kawasan dua setengah batu dari pelabuhan (Matang Road) dan Batu Lima (sekarang Simpang). Seterusnya stesen di Taiping yang terletak di padang Sekolah King Edward VII sekarang ini, manakala bangunan ibu pejabat keretapi pula terletak di kawasan berhampiran Rumah Rehat sekarang.

Port Weld dipilih sebagai pelabuhan kerana keadaan Teluk Kertang tidak sesuai untuk aktiviti perkapalan. Sewaktu air pasang, ombak boleh mencecah sehingga sebelas kaki. Selain daripada itu, pemilihan Port Weld adalah kerana airnya dalam, sesuai untuk kapal bersauh atau berlabuh dan jaraknya agak dekat dengan Pulau Pinang.

Port Weld juga adalah tempat pertemuan empat kuala sungai dengan tebing berlumpur yang lembut setinggi empat kaki sewaktu air surut.

Sewaktu pembinaan landasan, banyak lembu yang mati akibat wabak penyakit lembu dan ini menyebabkan sewa kereta lembu melambung naik. Ini telah membawa orang ramai mula beralih untuk menggunakan perkhidmatan keretapi. Pada masa yang sama, perkhidmatan dari pintu ke pintu menggunakan kereta lembu mengalami kesulitan dan membebankan pengguna.

Pembinaan landasan itu yang mana adalah kemudiannya menjadi sebahagian daripan jajaran Keretapi Negeri Perak, disifatkan sebagai berjaya dengan permintaan yang semakin bertambah walaupun terdapat kekurangan stok guling (rolling stock) sejak dari mula landasan beroperasi.

Pada 12 Februari 1885, Gabenor Negeri Selat telah memeriksa landasan tersebut dalam satu perjalanan yang mengambil masa selama 40 minit.

Pada 1 Jun 1885, landasan Kuala Sepetang ke Taiping dibuka kepada trafik. Sejumlah $ 345,000.00 telah dibelanjakan sehingga tahun 1885. Kos ini termasuk pembinaan landasan, bangunan dan pembelian enjin serta gerabak juga peralatan trafik lainnya.

Perlu diketahui, Larut adalah sebuah daerah yang kaya dengan perlombongan bijih timah dan kawasan yang mempunyai banyak lombong-lombong bijih timah terletak di sepanjang laluan di antara Teluk Kertang dan Kamunting. Sebelum landasan keretapi dibina, kereta lembu telah digunakan untuk mengangkut bijih timah dari lombong bijih ke pelabuhan. Malah selepas perkhidmatan keretapi dimulakan, dalam tahun 1887, sebanyak 150 hingga 200 buah kereta lembu masih digunakan di antara dua tempat tersebut, yang mana kapal-kapal masih berlabuh di Teluk Kertang untuk kerja-kerja pemunggahan barang-barang.

Selain mengangkut bijih timah ke Port Weld, perjalanan balik keretapi akan dipenuhi dengan kayu bakau yang dijadikan kayu api secara meluas di lombong-lombong bijih timah. Sungguhpun begitu, bukan bijih timah atau kayu bakau yang menjadi penyumbang utama pendapatan kepada Keretapi Negeri Perak ketika itu sebaliknya hasil pendapat tinggi diperolehi daripada penjualan tiket untuk tren penumpang, barang-barang dan bungkusan.

Hasil pendapatann keretapi bagi tahun 1886 adalah $55,157 di mana penumpang menyumbang $17,649 dan barang-barang serta bungkusan menghasilkan pendapatan sebanyak $16,885. Hasil dari kayu bakau pula adalah $8,251. Jumlah perbelanjaan keseluruhan untuk kerja-kerja senggaraan dan pembaikan pula adalah sekitar $36,794. Pada tahun iu juga, sebuah lokomotif baru, enam gerabak kelas 3 dan sepuluh gerabak tepian sisi tinggi telah ditambah.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan di landasan itu yang beroperasi untuk berpuluh tahun lamanya terpaksa dihentikan atas sebab masalah ekonomi serta ketidakmampuan pelabuhan Port Weld menerima kapal-kapal besar untuk berlabuh.

No comments:

Post a Comment