Sejarah Laluan Keretapi Port Weld – Taiping
Lanjutan daripada artikel yang bertajuk
'Sejarah Pembukaan Landasan Port Weld' yang telah disiarkan pada 7 Mac 2011.
|
Miles
|
TP
|
17. PORT WELD BRANCH LINE
|
|
|
0
|
0/0
|
Taiping Station
|
|
|
0m75ch
|
0/19
|
Tekka Taiping
Siding
|
|
|
0m76ch
|
0/20
|
Taiping Tin
Dredging Company Siding
|
|
|
1m5ch
|
|
Taiping
Consolidated Siding
|
|
|
|
|
Simpang Station
Level Crossing (within station limit)
|
|
|
2½
|
|
Simpang Station
|
|
|
3m53ch
|
|
Jebong
Siding
|
|
|
5
|
|
Matang Road Halt
|
|
|
7½
|
7/6
|
Port
Weld Station
|
Sejak daripada tarikh itu (7 Mac 2011),
pelbagai penemuan berkaitan dengan landasan Port Weld – Taiping ini telah
ditemui. Aku telah beberapa kali berkunjung ke Arkib Negara Malaysia, Jalan
Duta, Kuala Lumpur dan Perpustakaan Akademi KTMB yang terletak di Batu Gajah,
Perak dalam usaha untuk mendapatkan apa-apa maklumat tentang keretapi di masa
dahulu. Aku mengambil sedikit masa untuk menyemak bahan-bahan yang diperolehi
sebelum membuat catatan berkaitan dengan apa yang ada di sepanjang landasan
dari Taiping ke Port Weld tu.
Sebelum aku menulis dengan panjang lebar, aku
ingin ceritakan sedikit tentang sejarah landasan ini.
Peta laluan keretapi yang lurus dari Taiping ke Port Weld.
Semua sedia maklum bahawa keretapi antara Port Weld - Taiping - Port Weld telah dimulakan sejak 1 Jun 1885. Pada masa itu, terdapat cuma terdapat dua perjalanan tren ke dua-dua hala, satu di sebelah pagi dan satu di sebelah petang.
Masa berlalu menyaksikan banyak lombong bijih timah dah ladang getah diusahakan di sepanjang laluan keretapi. Ini telah menyebabkan kampung dan pekan berkembang pesat dengan penduduk yang bekerja di lombong dan ladang getah.
Ekoran daripada ramainya penduduk, perkhidmatan tren di sebelah pagi dipenuhi
dengan anak-anak sekolah dan pekerja pejabat yang menaiki tren samada ke Taiping
atau ke Port Weld. Tren campur yang dilarikan ini juga membawa barang-barang
terutamanya kayu arang yang digunakan untuk menggerakkan lokomotif wap dan juga
untuk kegunaan lombong-lombong bijih timah yang terletak di sepanjang landasan.
Sebanyak sepuluh perkhidmatan ulangalik diadakan setiap hari.
Antara hasil perlombongan yang terdapat di Larut.
Selain dari bijih timah, dagangan lain yang
dibawa dengan keretapi ke Port Weld adalah kopi, getah dan gula menjadi ekspot
utama manakala barangan yang dibawa masuk adalah makanan dan peralatan
melombong.
Kapal stim di Port Weld, sekitar tahun 1890an. Sumber gambar dari Arkib Negara Malaysia.
Apabila landasan antara Tapah Road – Teluk Anson
dibuka dalam tahun 1895, dagangan Pelabuhan Port Weld mengalami kemerosotan. Tahun 1896
menyaksikan nilai import di Port Weld sekadar $ 876,000 berbanding nilai impot
di Pelabuhan Teluk Anson sebanyak $ 1,120,000.
Menjelang tahun 1898, Pelabuhan Teluk Anson
telah menjadi pelabuhan utama di Perak menggantikan Pelabuhan Port Weld. Banyak syarikat
perkapalan telah menghentikan operasi di Port Weld. Perkhidmatan keretapi Port
Weld – Taiping – Port Weld telah dikurangkan bagi mengurangkan kos operasi.
Jadual Perjalanan Tren Tahun 1927
Jadual Perjalanan Tren Tahun 1947.
Okay... sekarang kita mulakan perjalanan
menuju ke Port Weld.
Bermula dengan Stesen Keretapi Thaipeng
(Taiping). Pada masa itu, Stesen Taiping terletak di lokasi Sekolah King edward
Vii sekarang ini. Terdapat sebuah bangunan pentadbiran serta depoh baikpulih
lokomotif dan gerabak berhampiran dengan stesen ini.
Kemudahan yang ada di Stesen Taiping dan Stesen Port Weld pada tahun 1963.
Menghala sedikit ke arah Barat kita akan
temui Sisian Tekka Taiping. Sisian ini terletak di sebelah kanan landasan arah
ke Port Weld kira-kira 75 rantai dari Stesen Taiping.. Tekka Taiping Dredging
adalah sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah.
Lombong syarikat ini terletak berhampiran dengan landasan keretapi. Terdapat
rangkaian keretapi ringan yang menghubungkan kawasan perlombongan dengan
landasan keretapi bagi memudahkan penghantaran hasil perlombongan ke Port Weld.
Jaringan keretapi ringan di Tekka Taiping dan Taiping Tin Dredging Company.
Tidak jauh dari Sisian Tekka Taiping adalah
Sisian Taiping Tin Dredging Company. Sisian ini terletak di sebelah kiri
landasan arah ke Port Weld kira-kira 76 rantai dari Stesen Taiping (jaraknya
cuma 1 (satu) rantai dari Sisian Tekka Taiping). Sama seperti Tekka Taiping,
syarikat Taiping Tin ini juga menjalankan aktiviti perlombongan. Satu rangkaian
keretapi ringan juga telah dibina untuk disambungkan dengan landasan keretapi bagi
memudahkan penghantaran hasil perlombongan ke pelabuhan Port Weld.
Berkedudukan 1 batu 5 rantai dari Stesen
Taiping adalah Sisian Taiping Consolidated (sekarang ini dikenali sebagai YTL
Land & Development Berhad). Tidak banyak maklumat yang diperolehi berkenaan
dengan sisian ini kerana ianya dibuka untuk satu waktu yang agak singkat.
Kira-kira dua batu setengah dari Stesen
Taiping adalah Stesen Simpang. Nama SIMPANG diambil daripada kedudukan pekan
yang mana landasan keretapi dan jalanraya bersilang. Pekan Simpang adalah
sebuah pekan tempat penduduk kampung dan ladang sekitarnya untuk mendapatkan
keperluan harian. Boleh dikatakan semua keretapi penumpang laluan Taiping –
Port Weld – Taiping berhenti di stesen ini.
Sungguhpun begitu, oleh kerana pertumbuhan
yang pesat bermula dari Taiping telah melihatkan sistem jalanraya bertambah
baik. Kenderaan persendirian semakin bertambah dan menyebabkan kurangnya orang
ramai menggunakan perkhidmatan keretapi. Dengan menggunakan kenderaan sendiri,
orang ramai boleh ke Bandar taiping atau Pekan Port Weld pada bila-bila masa
sedangkan jika ingin menaiki keretapi, perlulah mengikut jadual perjalanan tren
yang telah ditetapkan. Jarak antara Taiping dan Port Weld menggunakan jalanraya.
Akhirnya Stesen Simpang dituruntaraf menjadi
sebuah perhentian pada 1 Januari 1924 sebelum ditutup sepenuhnya beberapa tahun
kemudian.
Antara peninggallan keretapi yang masih boleh
dilihat adalah tiang telegraf yang terletak dalam kawasan Pekan Aulong. Gambar
kredit kepada https://museumvolunteersjmm.com/2020/09/27/all-because-of-tin/
Selepas Stesen Simpang, kira-kira pada
kedudukan 3 batu 53 rantai dari Stesen Taiping adalah Sisian Jebong yang
terletak di sebelah kiri landasan arah ke Port Weld.
Ladang Jebong adalah sebuah kawasan ladang
getah yang agak luas. Ianya dipunyai oleh Jebong (Perak) Rubber Company, Ltd. Oleh
yang demikian, pihak FMSR dengan bantuan pihak ladang telah membina sebuah
landasan keretapi sejauh kira-kira dua batu terus ke tengah ladang, tempat
pengumpulan susu getah (latex). Sama seperti pengiriman bijih timah, susu getah
ini juga dihantar ke Pelabuhan Kuala Sepetang (Port Weld) untuk dihantar ke
Pelabuhan Klang.
Kira – kira liima batu dari Stesen Taiping
adalah Perhentian Matang Road. Ada banyak penerbitan yang menyatakan bahawa
Matang Road itu adalah sebuah stesen. Tetapi aku tidak menjumpai fakta yang
menunjukkan wujudnya sebuah stesen yang dikenali sebagai Stesen Matang Road.
Banyak juga rujukan yang aku buat sekadar menunjukkan ianya sebuah perhentian.
Mungkin kalian di luar sana mempunyai maklumat tentang benarnya Perhentian
Matang Road ini adalah sebuah stesen.
Keratan akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser, bertajuk European's 54 Years In Malaya yang disiarkan pada 25 April 1939, Mukasurat 7 menulis:
Sumber daripada https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/singfreepressb19390425-1.2.71?ST=1&AT=search&k=railway%20matang%20road&QT=railway,matang,road&oref=article
Perhentian Matang Road ini pada asalnya
berfungsi untuk orang ramai terutamanya pekerja pejabat dan anak-anak yang
bersekolah samada di Port Weld atau Taiping. Pihak FMSR telah memberikan
potongan harga tiket istimewa untuk seminggu atau sebulan kepada orang ramai
untuk menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan keretapi.
Di sepanjang laluan antara Matang Road dan
Port Weld, pada masa dahulu dipenuhi dengan hutan dan sedikit ladang getah. Malah pada hari ini masih kelihatan kawasan paya bakau di berhampiran bekas landasan.
Akhirnya kita tiba di Stesen Port Weld yang
terletak kira-kira tujuh setengah batu dari Bandar Taiping. Sebuah bangunan
stesen dan beberapa buah gudang terdapat di sini. Sungguhpun begitu hanya sebuah
gudang yang masih tinggal kini dan digunakan sebagai pelantar untuk nelayan
menaikkan hasil tangkapan.
Signboard asal Stesen Port Weld. Gambar sumber dari Arkib NSTP.
Signboard kemudian dialihkan beberapa meter ke belakang setelah tiangnya patah.
Gambar dari seorang rakan di FB menunjukkan poin masuk ke Stesen Port Weld.
Pelabuhan Port Weld di zaman kegemilangannya.
Gambar sumber dari Perpustakaan Akademi KTMB (MyRA), Batu Gajah, Perak. Seperti mana punca Perhentian Matang Road dan
Stesen Simpang ditutup, Stesen Port Weld ini juga ditamatkan operasinya secara
rasmi pada 17 Januari 1972. Persaingan yang sengit dari perkhidmatan jalanraya
telah mengubah segalanya. Tinggallah sejarah yang menyatakan bahawa pernah suatu
masa dahulu wujud landasan keretapi yang menghubungkan Taiping dengan Port Weld
atau Kuala Sepetang.
Maka berakhirlah perjalanan kita. Kita akhiri dengan satu lagi gambar dari teman di FB.
Terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang maklumat dan gambar-gambar yang disiarkan. Semuanya itu untuk tatapan generasi pada hari ini dan pada masa akan datang. Harapan aku agar hantaran kali ini akan dapat memberi manfaat kepada semua peminat keretapi.