Saturday 20 June 2009

Peringkat Awal Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu

Berikutan dengan campurtangan Inggeris pada tahun 1874, Sistem Residen diperkenalkan di negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Pahang menyertainya pada tahun 1888. Keempat – empat kerajaan ini adalah negeri – negeri di bawah pengaruh Inggeris dan menjelang akhir abad telah digabungkan di bawah kesatuan Pentadbiran Sir Frank Sewttneham menjadi Residen Jeneral. Negeri – negeri tersebut digelar Negeri – Negeri Melayu Bersekutu. Lain – lain negeri dikenali sebagai Negeri – Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Dalam tajuk ‘Keretapi Negeri Perak’ telah dinyatakan mengenai wawasan dan objektif kerajaan Inggeris mengadakan rangkaian sistem keretapi dari selatan hingga ke utara. Ke arah objektif ini, Keretapi Kerajaan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan adalah dalam proses untuk bergabung dengan Keretapi Kerajaan Province Wellesley. Dua terminal utama, iaitu rangkaian keretapi ke Perai di sebelah utara yang dihubungkan dengan perkhidmatan feri ke Pulau Pinang dan Port Dickson di selatan, dan bersambung ke stesen Sungai Ujong di Seremban.

Jumlah panjang landasan sehingga tahun 1901 ialah 224 batu, tetapi tidak disambungkan sepenuhnya. Menjelang akhir tahun 1902, jumlah panjang landasan ialah 274 batu tetapi rangkaian komunikasi belum diwujudkan, terdapat pemisahan antara Bukit Gantang dan Taiping sejauh 7 ½ batu. Laluan tersebut disambungkan ke bahagian selatan melalui Padang Rengas ke Bidor meninggalkan satu lagi pemisah sejauh 37 batu dari Bidor ke sempadan Selangor, iaitu Tanjung Malim. Sambungan ke Tanjung Malim disiapkan pada 31 Disember 1902.

Laluan yang paling sukar sekali ialah antara Kajang dan Seremban iaitu sejauh 29 batu di mana terdapat curam – curam yang sukar untuk dilalui dan merupakan satu kejayaan apabila dapat disiapkan pada April 1903.

Keretapi telah pun beroperasi di laluan Batang Benar pada awal tahun 1902. Jumlah panjang laluan dari Prai ke Seremban adalah 288 batu yang dibuka dengan rasminya pada Julai 1903. Laluan ini diingati dengan adanya majlis keramaian diraja yang diadakan di Ibu Negeri Persekutuan, Kuala Lumpur apabila Pemimpin-Pemimpin Melayu dan Sultan Perak dibawa dengan tren khas dari Kuala Kangsar. Walau bagaimanapun, pembinaan laluan sambungan yang seterusnya ke bahagian selatan telah dibatalkan tanpa ada sebab-sebab yang khusus.

Menjelang akhir tahun 1903, sejauh 340 batu rangkaian keretapi disiapkan, yang mana pembinaan tersebut belum mendatangkan hasil pendapatan. Keretapi Kerajaan-Kerajaan Negeri dibentuk mulai tahun 1903 di mana En C Edwin Spooner dilantik sehagai Pengurus Besar. Logo yang digunakan oleh Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu adalah merupai seekor harimau yang sedang melompat dilukis dalam ruang berbentuk bulat dengan tulisan "Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu".

Walaupun tiada tambahan laluan yang dibuat pada tahun 1904 terhadap laluan utama, namun tumpuan diberikan pada bengkel-bengkel penyelenggaraan mekanikal. Satu bengkel pusat dicadangkan di Sentul dan pembinaan laluan cawangan ke Batu Caves dimulakan. Bengkel ini diharap dapat mengendalikan perkhidmatan untuk laluan terbuka sejauh 700 batu. Pada tahun tersebut, barangan bernilai $1,202,593 dibeli melalui Pemerintah Tanah Jajahan, London. Empat lokomotif baru ditambah pada storkereta sedia ada menjadikan jumlah enjin yang beroperasi kepada 63. 16 buah bogi koc dan 172 gerabak barang telah ditambah dan 13 buah bogi baru dalam pembinaan. Pada tahun 1905, laluan dari Seremban ke Tampin sejauh 30 batu dan ke Melaka sejauh 21 batu disambungkan. Landasan cawangan ke Batu Caves sejauh 5 batu juga disiapkan. Sejauh 56 batu lagi ditambah menjadikan jumlahnya 396 batu.

Pembinaan Bengkel Pusat berjalan dengan baik. Ibu Pejabat yang baru di Kuala Lumpur yang bernilai $ 116,122 juga disiapkan dan diduduki. Bangunan ini berbeza dengan apa yang kita lihat di hadapan stesen keretapi sekarang ini yang mana bangunan ini dibina pada tahun 1917.

Stokereta tambahan diperolehi lagi iaitu lima enjin enam - roda, dua enjin tangki, 20 bogi baru dan 235 gerabak empat - roda.

Penduduk di keempat-empat Negeri Kerajaan Melayu Bersekutu dianggarkan seramai 960,000 orang pada tahun 1905. Pendapatan keretapi pada tahun tersebut bertambah kepada $3,940,599 yang paling tinggi pernah dicapai. Apabila keretapi ke Melaka disambung, adalah dipercayai pada ketika itu bahawa laluan keretapi di sepanjang Utara - Selatan Semenanjung bukan sahaja merupakan perkhidmatan sokongan kepada pelabuhan tetapi juga menyediakan perkhidmatan untuk jalan darat dan sungai. Adalah dijangkakan kapal-kapal besar akan melepasi pelabuhan-pelabuhan kecil dan pergi terus ke pelabuhan yang lebih besar.

Ini terbukti benar dari statistik bagi pelabuhan Port Dickon. Pada tahun 1906 hanya terdapat 870 kapal berbanding 985 pada tahun 1905 dan jumlah tan yang berkurangan iaitu 250,927 daripada 282,592 pada tahun 1905. Pengurangan yang hampir sama atas sebab-sebab yang sama juga direkodkan bagi Teluk Anson. Tetapi bagi Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang) terdapat tambahan dari segi "jumlah tan". Agregat bagi tahun 1906 adalah 979,211 tan berbanding 83,276 tan pada tahun 1905. Pelabuhan Swettenham iaitu satu lagi pelabuhan keretapi telah dibuka pada bulan September 1901. Ia dikatakan sebagai pelabuhan yang mempunyai banyak komoditi dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sebagai sebuah pelabuhan di Semenanjung dan bernilai $ 1,105,791.

Pembinaan landasan di bahagian selatan sehingga ke sempadan Johor, Kuala Gemas diteruskan pada tahun 1906 sepanjang 32 batu menjadikan jumlahnya 428 batu. Laluan ini dibuka kepada trafik pada S Oktober. Pada tahun tersebut satu stesen terminal yang besar serta pejabat-pejabat sedang dalam proses pembinaan yang melibatkan perbelanjaan $60,320. Jumlah stokereta ditambah kepada 14 gerabak bogi baru, yang mana 13 daripadanya dari jenis yang lebih baik dengan roda berukuran diameter 2 kaki 9 1/2 inci. Tren-tren dari jenis ini dinyatakan sebagai buatan terbaik di Barat Suez. 26 gerabak dan tiga van brek barang juga ditambah. (Jumlah stesen-stesen termasuk 7 buah "Flag Station" adalah 100 buah kesemuanya).

Perubahan dari bengkel lama kepada yang baru bermula pada bulan Mei dan disiapkan pada bulan Ogos apabila semua mesin beroperasi. Pada tahun tersebut, bahan-bahan untuk tujuan pembinaan bernilai $1,353,860 telah dibeli dan dibayar melalui Pemerintahan Tanah Jajahan.

Pembinaan landasan keretapi di bahagian selatan melalui Negeri Johor mengalami beberapa masalah kerana Johor merupakan kerajaan persendirian dan tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk membiayai projek ini serta masalah mengenai tuanpunya dan operasi tren melibatkan perbincangan yang panjang antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Melayu Bersekutu dan Penjajah. Akhirnya, landasan keretapi Negeri Johor sepanjang 120 batu dibina dan seterusnya disewakan kepada Kerajaan Melayu Bersekutu untuk dikendalikan. la dibuka pada tahun 1909 sehingga ke Johor Bahru. Satu perkhidmatan gerabak feri yang menyambungkan Singapura dan Keretapi Kranji di Woodlands diadakan.

Sir Frank Swettenham yang merupakan penggerak utama pembinaan laluan keretapi dari sejak awalnya sehinggalah terbentuknya Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu, mempunyai karier yang dibanggakan selama 33 tahun berkhidmat di Tanah Jajahan dan Kerajaan Melayu Persekutuan dan kemuncak karier beliau ialah apabila dilantik sebagai Gabenor Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhanjaya Kerajaan Melayu Bersekutu. Beliau bersara pada Oktober 1903.

No comments:

Post a Comment