Wednesday, 30 September 2009

Sedikit Mengenai Landasan Mersing - Kuantan

Sekitar tahun 1930-an, kemelesetan ekonomi telah mengganggu perkembangan dan perancangan pembangunan FMSR. Keadaan ini memaksa FMSR menggantung projek - projek baru dan hanya membina landasan yang difikirkan menguntungkan.

Ini bermakna, hanya landasan cabang (cawangan) yang pendek sahaja akan dibina dan disambungkan dengan landasan utama.

Dengan keputusan tersebut, hasrat untuk melihat pembinaan landasan keretapi ke Terengganu berkubur. Malah Kerajaan Negeri Johor juga telah membatalkan rancangan untuk membina landasan keretapi yang menghubungkan Johor Bahru dengan Mersing, Endau, Batu Pahat dan Muar.

Ketetapan tersebut juga telah menyebabkan projek pembinaan landasan keretapi antara Kuala Lumpur ke Kuantan tidak dapat dilaksanakan.

Semasa mesyuarat pertama Lembaga Perhubungan Tanah Melayu pada 21 September 1930, telah dibangkitkan syor untuk membina jalan keretapi pantai timur dari Mersing melalui Kuantan, ke Kuala Terengganu dan dipanjangkan terus ke Kota Bharu, Kelantan.

Walau bagaimanapun, syor ini telah ditolak. Ahli lembaga yang bersidang lebih bersetuju dengan syor kedua untuk membina landasan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Akhirnya, projek pembinaan landasan ini telah ditangguhkan, termasuklah pembinaan landasan menyusur pantai dari Kelantan ke Johor Bahru melalui Terengganu dan Pahang.

Untuk keterangan yang lebih lanjut, sila dapatkan:
a. Buku Sejarah Keretapi Di Malaysia yang ditulis oleh Saudara M. A. Fawzi Basri.
b. Slide bertajuk "Road or Rail? Competition in Colonial Malaya 1909 - 1940" oleh Puan Amarjit Kaur.

No comments:

Post a Comment