Sunday, 30 May 2010

Penyakit Ummah

Firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 23: "Katakanlah (wahai Muhammad) Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati(untuk kamu bersyukur) tetapi amatlah sedikit daripada kamu yang bersyukur".

Biasanya kebanyakan manusia pernah menghidap bermacam-macam penyakit, ada penyakit yang ringan dan ada penyakit yang berat, yang menyebabkan terganggu kesihatan dan terganggung kekuatan tenaga dan kecerdasannya.

Penyakit-penyakit jasmani seperti demam, selesema, batuk, sakit kepala dan sebagainya amat mudah diketahui senang pula dirawat dan banyak ubatnya. Tetapi ada penyakit-penyakit lain yang menyerang manusia dan sedang merebak di kalangan umat terutamanya umat Islam hari ini yang sukar dirawat dan sukar pula diubati, kerana penyakit-penyakit ini tidak terasa apa-apa dan tidak tahu jika ia dihinggapi penyakit.

Penyakit yang menyerang seseorang dari dalam yang memberi kesan akal fikirannya, perasaan dan emosinya. Penyakit yang dimaksudkan itu ialah penyakit sosial masyarakat atau penyakit ummah.

Sehubungan hal ini, Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Bahawa sesungguhnya umatku akan ditimpa penyakit umat atau penyakit sosial masyarakat. Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah penyakit itu ya Rasulullah?" Sabdanya,"Iaitu penyakit kufur nikmat Allah. Penyakit sombong dan bongkak, penyakit tamak haloba, penyakit persaingan sesama kita sendiri untuk merebut kemewahan dan kemegahan dunia, penyakit benci membenci dan penyakit hasad dengki hingga berlaku kezalian dan menimbulkan huru-hara".

No comments:

Post a Comment