Monday 7 March 2011

Alam Rumahtangga

Alam rumahtangga adalah satu kehidupan yang cukup berbeza dengan alam bujang. la adalah satu alam yang mencabar. Kehidupan dalam rumahtangga menuntut persiapan seratus peratus daripada lelaki. Persiapan yang sempurna untuk menempuh alam rumahtangga akan mampu mengekalkan rumahtangga yang dibina sehingga ke akhir hayat.

Alam rumahtangga tidak dapat lari daripada krisis. Rumahtangga Rasulullah SAW sendiri pun pernah dilanda krisis. Hubungan baginda dengan Saidatina Aisyah r.a dingin kerana fitnah ke atas Saidatina Aisyah r.a. Peristiwa ini dirakamkan dalam al-Quran dalam surah an-Nuur ayat 11 bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu (fitnah terhadap Aisyah) ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat)".

Seorang sahabat bernama Saad bin al-Rabi diriwayatkan pernah menampar isterinya Habibiah binti Zaid kerana nusyuz. Habibah telah mengadu kepada ayahnya lalu diadu kepada Rasulullah SAW. Kalaulah rumahtangga bagainda dan sahabat dilanda krisis sedemikian apatah lagi rumahtangga kita. Oleh itu, menjadi satu kewajipan ke atas lelaki untuk mempertingkatkan kesabaran diri.

Pertengkaran dalam rumahtangga sering datang dan pergi. la sesuatu yang sukar untuk dielakkan kerana ikatan perkahwinan adalah berpanjangan dan kekal. Kita boleh menyimpan keburukan diri sekiranya kita bertemu untuk lima hari tetapi adalah mustahil untuk menyimpan keburukan diri sekiranya kita sentiasa hidup bersama. Oleh itu, kita akan menemui kekurangan masing-masing. la adalah lumrah rumahtangga. Kata pepatah "sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri" membawa maksud lidah dan gigi yang berumah di dalam satu mulut pun boleh tergigit, inikan pula suami dan isteri yang dulunya mempunyai latar kehidupan yang berlainan.

Cabaran rumahtangga menuntut kesabaran. Gagal bersabar akan membawa kepada kegagalan rumahtangga. Kesabaran dari lelaki adalah lebih utama kerana pada tangan lelakilah terletaknya kuasa melafazkan talak. Ramai isteri yang ditalakkan kerana kegagalan di suami untuk bersabar ketika marah. Kemarahan pula bersifat sementara. Oleh sebab itulah ramai lelaki yang menyesal kerana melafazkan talak. Lelaki yang melafazkan talak tiga lebih tinggi sesalannya.

Lelaki adalah pemimpin tertinggi dalam rumahtangga. Allah SWT menjelaskan kepimpinan lelaki ke atas wanita ini disebabkan dua faktor. Faktor pertama adalah kelebihan yang ada pada lelaki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Faktor kedua adalah kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri. Ini jelas dapat dilihat dalam firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34, bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka".

Dalam menghuraikan tentang kepimpinan lelaki ke atas wanita, al-Shaykh Said Hawa menyatakan, kepimpinanan lelaki ke atas wanita ialah sebagai ketua, hakim, pendidik serta bertanggungjawab dalam memberi tunjuk ajar apabila wanita terpesong daripada landasan kebenaran.

Lelaki yang mendirikan rumahtangga mestilah mempersiapkan diri dengan ilmu kepimpinan supaya dia dapat mengharungi gelora rumahtangga dengan bijak. Dia diibaratkan nakhoda sebuah kapal. Dialah yang bertanggungjawab menentukan haluan kapal. Jika dia menetapkan utara sebagai haluan maka kapal akan ke utara, begitulah sebaliknya jika dia menetapkan selatan sebagai haluan. Keputusannya jugalah yang akan menentukan kapal tersebut mengharungi gelombang besar atau tenang air laut. Matlamat daripada perkahwinan dalam Islam adalah untuk memelihara zuriat keturunan. Bukan sekadar menjaga zuriat supaya mempunyai bapa yang sah bahkan juga menjaga zuriat agar menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa.

Walaupun alam rumahtangga menuntut perhatian daripada kedua-dua pihak, lelaki dan wanita, namun perhatian daripada lelaki adalah lebih utama. Lelaki telah mendapat pengiktirafan Allah SWT sebagai pemimpin tertinggi sesebuah keluarga. Keluarga adalah satu institusi kecil yang menjadi asas kepada institusi yang lebih besar seperti institusi masyarakat, daerah, negeri dan negara. Kegagalan institusi kekeluargaan membentuk ahlinya akan menyebabkan institusi-institusi yang lebih besar lemah. Sebagai contoh, sekiranya ibu bapa gagal membentuk akhlak anak-anak maka masyarakat akan terdedah dengan perangai kurang sopan remaja. Oleh itu, seorang lelaki mestilah mempersiapkan diri dengan ilmu kekeluargaan.

Sebagai kesimpulannya, krisis dalam menjalani kehidupan berumahtangga memang tidak dapat dielakkan. la pasti akan melanda, cuma berbeza tahap keseriusannya. Lelaki mempunyai peranan yang cukup besar di dalam mengatasinya dan lelaki yang membuat persiapan terbaik adalah orang yang paling berjaya menangani krisis rumahtangga.

No comments:

Post a Comment