Monday 11 June 2012

Keputusan Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2012



JOHOR BAHRU: Qari dari Kelantan, Muhamad Anuar Ghazali dan Qariah dari Wilayah Persekutuan, Che Minah Che Awang masing-masing diumumkan Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-55 yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada 4 hingga 8 Jun 2012 yang lalu.

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan ibadat haji beserta cenderamata dan sijil penyertaan.

Muhammad Anuar, 36, seorang guru pendidikan Islam memperoleh markah 93.66 peratus manakala Che Minah, 57, guru al-Quran pula memperoleh 84.33 peratus.

Negeri Pahang pula diumumkan sebagai johan keseluruhan majlis tilawah tersebut.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Sementara itu, naib johan pula ialah qari dari Pahang, Zul-Hasyimi Mohamed Yunus (87.99 peratus) dan qariah dari Sabah, Nur Faten Izzati Rablin (79 peratus).

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM7,000, pakej menunaikan ibadat haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula qari dari Sabah, Mohamad Raffe Ghalil Abbas (86.68 peratus) dan qariah dari Kedah, Marzian Mohd Deli (78.67 peratus).

Mereka menerima wang tunai RM5,000, pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Seramai 27 qari dan qariah menyertai tilawah yang berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu dan bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment