Friday 3 July 2009

Sejarah Pembinaan Jalan Keretapi Negeri Kedah

Kerajaaan Siam amat berhubung kait dengan projek pembinaan jalan keretapi di negeri Kedah, oleh yang demikian hingga ke hari ini masih tidak terdapat jalan keretapi yang menghubungkan antara Bukit Mertajam dengan Kulim.

Sebenarnya memang tidak dapat dinafikan sekiranya jalan keretapi untuk menghubungkan Bukit Mertajam dengan Kulim dibina, besar kemungkinan seluruh kawasan selatan negeri Kedah akan berkembang dengan lebih pesat dari bahagian-bahagian lain di Kedah itu sendiri dari segi urbanisasi dan kekayaan ekonomi. Buktinya bukan sahaja berdasarkan dari saranan Pengurus Besar Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, C. E. Spooner, tetapi kita dapati daerah Kulim itu sendiri mempunyai potensi untuk mengeluarkan hasil bijih timah dan getah yang menggalakkan.

Sementara itu dalam tahun 1907, isu mengenai usaha untuk menghubungkan negeri Kedah dengan landasan keretapi telah timbul semula. Kerajaan Siam telah bercadang untuk menawarkan konsesi kepada Kompeni German (dengan menggunakan kewangan German) bagi membina jalan keretapi dari Bangkok untuk menghubungkan dengan negeri Kedah dan seterusnya dengan jalan keretapi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jalan keretapi ini juga akan menggunakan landasan yang berbeda dari yang digunakan oleh Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan usaha pembinaan akan dijalankan di bawah pengawasan jurutera-jurutera German.

Justeru untuk mengelakkan daripada konsesi tersebut jatuh ke tangan Kompeni German, pihak Inggeris telah mengambil keputusan untuk mengadakan perundingan mengenai perkara ini yang kemudiannya berkeputusan dengan termeterinya Perjanjian Inggeris – Siam pada tahun 1909. Dengan adanya perjanjian ini, maka Negeri-Negeri Melayu Utara iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diserahkan oleh Kerajaan Siam kepada pihak Inggeris di Tanah Melayu.

Cadangan untuk membina jalan keretapi menghubungkan negeri Kedah dan Siam dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mendapat perhatian dari persatuan-persatuan tertentu. Hal ini adalah kerana kemajuan ekonomi dan peningkatan dalam ‘volume of trade’ atau perkembangan aktiviti perdagangan memerlukan system perkhidmatan dan pengangkutan yang baik dan effisen seperti keretapi.

The press agitated in its favour and the Penang Chamber of Commerce Vitally aware of the necessity of this extension, sent a delegation to the Governor of this Straits Settlements on this matter.

Justeru selepas termeterinya Perjanjian Inggeris – Siam 1909 dan Kedah diserahkan oleh Kerajaan Siam kepada pihak Inggeris, barulah Kerajaan Inggeris benar-benar berusaha untuk membina jalan keretapi untuk menghubungkan Bukit Mertajam dengan Alor Setar. Landasan tersebut sejauh 56 batu dari Bukit Mertajam di daerah Province Wellesley memanjang hingga ke Alor Setar, ibu negeri Kedah. Pembinaan jalan ini telah dimulakan pada penghujung tahun 1912.

Sementara itu persediaan serta penyelidikan pertama dan terakhir atas usaha untuk membina landasan keretapi dari Bukit Mertajam ke Alor Setar telahpun dijalankan pada penghujung tahun 1911 dan di awal tahun 1912. Jumlah kewangan yang digunakan untuk tujuan persediaan dan penyelidikan adalah sebanyak $ 38,179.88 sen. Peruntukan keseluruhan yang ditetapkan oleh pihak Pentadbiran Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bagi membina jalan keretapi dari Bukit Mertajam hingga ke Alor Setar adalah seperti di bawah :-
1. Trial Survey Railway Extension to Alor Setar $ 22,068.86
2. Permanent Survey Railway Extension to Alor $ 16,116,02
3. Kedah Railway Extension Bukit Mertajam to Alor Setar $ 686,042.06


Total $ 724,221,94

Pihak Pentadbir Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mula menjalankan kerja-kerja penyelidikan dalam usaha untuk membina landasan keretapi Bukit Mertajam – Alor Setar dalam bulan Oktober 1911 dan mendapat kawasan yang diperlukan untuk projek ini pada 1hb Februari 1912.

Kerja-kerja pembinaan jalan keretapi dari Bukit Mertajam ke Alor Setar telah bermula pada penghujung tahun 1912. Mengikut laporan Kedah Annual Report tahun 1912 :-

The Railway Administration, which had started work upon the Bukit Mertajam – Alor Setar line in October of the preceding year, obtained complete possession of the land required for the line on the 1st February. Work had been carried out with great energy throughout the year. Constructions are running for a distance of fifteen miles at the southern end and ten miles at he northern end. It is expected that the rails will be linked up in June 1914 and that the entire section, which is 56 miles long will be open for traffic in 1915.

Setelah selesai kerja-kerja pembinaan, maka jalan keretapi utama dari Bukit Mertajam ke Alor Setar telah dibuka dengan rasminya untuk kegunaan pengangkutan dan penumpang pada tahun 1915. Pembukaan jalan keretapi Bukit Mertajam – Alor Setar telah mencetuskan satu perkembangan baru dalam sistem perhubungan dan pengangkutan di negeri Kedah khususnya.

Sementara itu setelah kerja-kerja pembinaan jalan keretapi Bukit Mertajam – Alor Setar hampir selesai, pihak Pentadbir Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah meneruskan usaha-usaha penyelidikan untuk menyambungkan landasan keretapi dari Alor Setar ke negeri Perlis dan Padang Besar pada tahun 1914. Kerja-kerja pembinaan jalan keretapi ini telah dimulakan pada tahun 1915.

Landasan keretapi dari Alor Setar ke Bukit Ketri di negeri Perlis sepanjang 56½ batu telah dibuka untuk kegunaan pengangkutan dan penumpang pada 15hb Oktober 1917. Sementara itu landasan keretapi dari Bukit Ketri ke Padang Besar telah dibuka untuk kegunaan pengangkutan dan penumpang pada 1hb Mac 1918. Jumlah peruntukan untuk pembinaan jalan-jalan keretapi ini ialah sebanyak $ 172,502.74 sen. Seterusnya kita dapati landasan keretapi dari Padang Besar telah disambung dengan jalan keretapi Negeri Thai dan dibuka secara rasminya pada 1hb Julai 1918.

Terdapat sebanyak dua puluh tiga buah stesen keretapi dan perhentian kecil atau ‘halts’ di sepanjang jalan keretapi dari Bukit Mertajam ke Alor Setar dan seterusnya ke Padang Besar. Stesen-stesen dan perhentian kecil tersebut ialah :-

Bukit Mertajam
Penanti 4 batu
Jarak 7 batu
Kreh 9½ batu (sekarang Tasek Gelugor)
Pinang Tunggal
15 batu
Sungai Petani 18 batu
Sungai Lalang 22½ batu
Semiling 27¼ batu (sekarang Bedong)
Sungai Toh Pawang 29¼ batu
Gurun 34 batu
Guar Chempedak 36½ batu
Junun 39¾ batu
Kobah 45¼ batu
Tokai 49½ batu
Alor Setar 56½ batu
Anak Bukit 61½ batu
Tunjang 67½ batu
Kodiang 75¼ batu
Arau 80 batu
Mata Air 82¾ batu
Bukit Keteri 86½ batu
Kubang Tiga 90¾ batu
Padang Besar 98¼ batu

Sebagai kesimpulan kita dapati bahawa latar belakang serta sejarah pembinaan jalan keretapi di negeri Kedah telah mengalami satu proses yang agak unik dan berbeda dengan latar belakang dan sejarah pembinaan jalan-jalan keretapi di negeri – negeri Melayu lainnya.

Sebelum negeri Kedah masuk di bawah naungan Kerajaan Inggeris, beberapa kontroversi atau pertelingkahan telah timbul bersabit dengan cadangan untuk membina jalan keretapi di negeri Kedah antara Kerajaan Siam dengan pihak Inggeris di Tanah Melayu, hingga membawa kepada kegagalan cadangan untuk membina jalan keretapi dari Bukit Mertajam ke Kulim.

Justru dengan termeterinya Perjanjian Inggeris – Siam tahun 1909, apabila Kerajaan Siam menyerahkan negeri Kedah kepada pihak Inggeris, barulah Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu benar-benar mengambil inisiatif untuk membina landasan keretapi di negeri Kedah.

No comments:

Post a Comment