Wednesday 22 February 2012

Liverpool..6 Brighton..1


Memalukan tetapi berharga. Itulah yang dapat aku simpulkan sesudah menyaksikan siaran secara langsung perlawanan Pusingan Kelima Piala FA England di antara Liverpool dan Brighton yang disiarkan oleh ASTRO Saluran 813. Terima kasih ASTRO!!

Malu kerana inilah kekalahan paling besar yang dialami oleh Brighton pada musim ini. Kekalahan ini juga merupakan kekalahan pertama dari empat perlawanan Piala FA yang melibatkan Liverpool dan Brighton. Sebelum ini Brighton menang sekali dan seri dua kali dalam kunjungan ke Anfield. Berharga kerana pengalaman yang diperolehi daripada perlawanan ini boleh dijadikan bekalan untuk mengharungi baki perlawanan musim ini.

Pengurus pasukan Gus Poyet membuat tiga pertukaran pemain dari barisan utama yang seri 2-2 dengan Millwall dalam perlawanan pertengahan minggu, dengan menyenaraikan kembali Kazenga LuaLua dalam kesebelasan utama kali ini. Pemain sayap Republic Congo itu mengambil tempat Craig Mackail-Smith, dan pemain penyerang itu disenaraikan sebagai pemain simpanan.

Sementara itu, Adam El-Abd bermula sebagai pertahanan kiri dan Will Buckley kembali ke bahagian tengah selepas kedua-duanya terlepas perlawanan dengan Millwall; Joe Mattock dan Gonzalo Jara Reyes pula terkeluar dari senarai yang dibawa ke Anfield. Vicente pula sekadar mendapati beliau hanyalah sebagai pemain simpanan.

Liverpool memulakan jaringan menerusi Martin Skrtel pada minit ke-5. Kazenga LuaLua menyamakan kedudukan pada minit ke-17 menerusi satu sepakan percuma yang menarik. Pada minit ke-44, sekali lagi Liverpool mendahului apabila bola tandukan Glen Johnson tertampan ke dalam gol oleh Liam Bridcutt.

Separuh masa kedua bermula dengan agak baik buat Brighton yang mencari gol penyamaan. Malangnya Andy Carroll telah menghukum kealpaan pemain Brighton dengan satu sepakan kencang pada minit ke-57. Brighton yang ketinggalan 1-3 tidak mudah putus asa dan masih berbalas serangan dengan Liverpool sehinggalah Liam Bridcutt sekali lagi tertampan bola masuk ke dalam gol sendiri, kali ini dari percubaan oleh Steven Gerrard.

Malang sekali lagi menimpa buat Brighton apabila menghadiahkan Liverpool dengan satu lagi gol sendiri. Giliran Lewis Dunk yang cuba untuk menyelamatkan bola tetapi tersepak masuk ke gawang sendiri pada minit ke-74.

Demi mengekang asakan bertali arus Liverpool, Craig Noone telah menjatuhkan Dirk Kuyt dalam kotak penalti pada minit ke-80. Walau bagaimanapun, tendangan penalti oleh Luis Suarez telah diselamatkan oleh penjaga gol Brighton, Peter Brezovan.

Kenduri gol Liverpool berakhir apabila Luis Suarez menanduk masuk hantaran lintang oleh Andy Carroll pada minit ke-85. Keputusan akhir Liverpool menewaskan Brighton & Hove Albion 6-1 dan akan bertemu Stoke City dalam perlawanan suku akhir.

Seramai 43,940 orang peminat bolasepak telah menyaksikan perlawanan yang pada separuh masa pertama agak seimbang tetapi dikuasai sepenuhnya oleh Liverpool pada separuh masa kedua.

Perlawanan seterusnya bagi Brighton adalah menentang Hull City di KC Stadium pada hari Rabu, 22 Februari 2012.

SENARAI PEMAIN

Liverpool: (4-4-2) Jose Reina; Glen Johnson, Jamie Carragher, Martin Skrtel, Sanchez Jose Enrique; Charlie Adam, Jordan Henderson (Dirk Kuyt 77), Steven Gerrard (Jonjo Shelvey 77), Stewart Downing; Luis Suarez, Andy Carroll. Pemain simpanan yang lain: Alexander Doni (GK), Rodriguez Maxi, Sebastian Coates, Jay Spearing, Martin Kelly.

Albion: (4-4-2) Peter Brezovan; Inigo Calderon, Gordon Greer, Lewis Dunk, Adam El-Abd (Rodriguez Vicente 69); Will Buckley (Craig Noone 46), Liam Bridcutt, Alan Navarro, Kazenga LuaLua; Ashley Barnes, Sam Vokes (Craig Mackail-Smith 69). Pemain simpanan yang lain: Casper Ankergren (GK), Ryan Harley, Torbjorn Agdestein, Romain Vincelot.

No comments:

Post a Comment