Salam Sejahtera.
Diam tak diam, esok umat Islam di Malaysia dan di beberapa negara lain di dunia akan mula berpuasa. Pada tahun ini, jangkanya cuaca baik dan sedikit hujan di sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.
Berpuasa bukan sekadar tidak makan atau tidak minum di waktu siang, tetapi ia merangkumi penjagaan terhadap seluruh anggota badan seperti menjaga mata dari melihat perkara haram, menjaga lidah dari berkata perkara yang tidak berfaedah dan tidak mendengar perkara haram seperti umpatan kecuali disusuli dengan benci terhadap umpatan tersebut.
Berpuasa juga dapat menginsafkan diri kita terhadap orang-orang Islam yang berada di dalam keadaan serba kekurangan, berpuasa dalam suasana perang, berpuasa dalam keadaan kebuluran, berpuasa tatkala dalam pelbagai tekanan oleh pemerintah dan macam-macam lagi.
Syukurlah.... di Malaysia ini kita semua dapat berpuasa dengan sempurna tanpa ada gangguan dari sesiapa. Makanan dan minuman melimpah ruah dan tiada sekatan dalam melakukan ibadah walaupun pada masa ini beberapa arahan perlu dipatuhi sesuai dengan saranan Kerajaan Malaysia untuk memutuskan rangkaian Covid 19.
Berpuasa di bulan Ramadan dengan muhasabah diri banyak mendidik hati dan jiwa serta fikiran manusia bagi mendapat tenaga untuk melaksanakan ibadah dan pekerjaan seharian. Kita sebagai manusia boleh belajar daripada pengalaman masa lalu, masa kini dan memanfaatkan keadaan sekarang dan merancang untuk kejayaan masa depan yang lebih cemerlang.
Semoga Rukun Islam yang ketiga ini dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin oleh kita semua. InsyaAllah.
Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam walau di mana jua anda berada.
No comments:
Post a Comment