Wednesday 3 March 2010

Jabatan Urusan Jalan

Jabatan Urusan Jalan bertanggungjawab ke atas pembinaan, pengukuhan, penyelenggaraan dan menaik taraf landasan dan jambatan keretapi. Usaha gigih jabatan ini telah membolehkan tren - tren beroperasi dengan lancar pada kelajuan yang telah ditetapkan.

Pada tahun 1994, Jabatan Urusan Jalan telah menyusun semula wilayah penyelenggaraannya dari enam kepada lima. Objektif utamanya adalah untuk mendapatkan saiz jumlah gunatenaga yang sesuai dengan beban kerja bahagian penyelenggaraan landasan.

Jabatan ini juga terlibat dengan kerja - kerja penukaran landasan yang haus, memperbaiki sistem perparitan, menstabilkan kecuraman dan formasi, merekabentuk semua geomatri landasan dan kimpalan landasan.

Kecenderungan menggunakan khidmat kontraktor luar serta penggunaan mesin dalam kerja - kerja penyelenggaraan dan juga peningkatan penggunaan teknologi maklumat merupakan antara faktor pengurang jumlah kakitangan jabatan sejak kebelakangan ini.

Secara keseluruhan, struktur landasan telah diperkukuhkan dalam semua projek keretapi bagi memenuhi keperluan halaju yang tinggi dan operasi tren yang lebih berat. Ini dapat dicapai melalui penggunaan rel UIC 54 kg yang dikimpal secara berterusan, landasan tanpa sambungan walaupun melalui sesimpang, alas konkrit yang ditegaskan dahulu, sub - balas dan kusyen balas yang tebal dan sebagainya.

Kelajuan untuk memasuki ke jalan gelong dari ibu jalan telahpun dinaikkan kepada 50 kmj dengan penggunaan rel lidah yang mempunyai 'web' yang tebal dan ciri geometri tanjen.

Pengukuhan landasan dan aspek keselamatan terus menjadi keutamaan. Jabatan ini telah menjalankan kerja - kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf jambatan secara berkala. Gelegar jambatan yang lemah telah diganti atau dikukuhkan. Selain daripada itu, kerja - kerja penukaran kayu landasan bagi mengukuhkan landasan dibuat secara progresif.

Kesimpulannya, jabatan ini merancang untuk memperbaharui infrastruktur rel bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelanggan serta kesediaan landasan dan jambatan sejajar dengan penggunaan lokomotif beban gandar 20 tan (lokomotif berkuasa tinggi Kelas 26 dan Kelas 29) yang diperkenalkan pada penghujung 2003.

No comments:

Post a Comment