Friday 9 March 2012

Brighton..2 Cardiff City..2


Satu lagi gol lewat permainan dan satu lagi mata yang dapat dipungut oleh brighton pada perlawanan awal pagi ini (Rabu, 7 Mac 2012) setelah hanya mampu seri 2-2 ketika menentang pasukan Cardiff City di Stadium Amex.

Pemain antarabangsa Wales, Sam Vokes melukakan hati teman senegaranya apabila menyumbat gol penyamaan lewat perlawanan buat Brighton.

Dengan perlawanan cuma tinggal seminit dan Brighton sedang ketinggalan 1-2, Vokes yang masuk sebagai pemain gantian telah menjaringkan gol yang dicari dari sudut sukar untuk memastikan Brighton mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga sejak awal tahun 2012 ini.

Pengurus pasukan Gus Poyet membuat satu perubahan terhadap kesebelasan utama yang seri 1-1 di Doncaster Rovers pada hari Sabtu lepas, dengan menurunkan Gai Assulin mengambil tempat Will Buckley, yang cuma disenaraikan sebagai pemain simpanan.

Separuh masa pertama walaupun berkesudahan seri 0-0 tetapi begitu mendebarkan kira-kira 18,786 orang peminat bolasepak yang memenuhi Stadium Amex. Kedua-dua pasukan saling mengasak ke pintu gol lawan masing-masing, tetapi sekali lagi penyudah yang kurang tajam menyebabkan tiada gol yang terhasil.

Akhirnya pada minit ke-57, Cardiff City mendapatkan jaringan pertama menerusi Joe Mason. Brighton terus melancarkan serangan ke arah gol Cardiff City dah mendapat gol penyamaan menerusi Ashley Barnes pada minit ke-72. Kegembiraan Brighton tidak kekal lama apabila selang dua minit selepas itu Cardiff CIty kembali mendahului, kali ini menerusi satu sepakan voli yang cantik dari Peter Whittingham. Pada ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan kemenangan buat Cardiff City, Sam Vokes telah memperdayakan penjaga gol Cardiff City, David Marshall dengan satu rembatan deras dalam kotak penalti pada minit ke-89.

Satu mata yang diperolehi malam ini tidak begitu memadai buat Brighton yang masih mengejar tempat untuk bermain dalam 'play-off' pada penghujung musim. Cuma dua mata dari dua perlawanan terakhir sememangnya merugikan pasukan Brighton yang kini berkongsi tangga keenam Liga Kejuaraan nPower dengan Birmingham City yang masing-masing mengutip 55 mata daripada 35 perlawanan. Southampton masih di depan dengan mengutip 66 mata diikuti West Ham United (65 mata), Reading (63 mata), Middlesbrough (59 mata) dan Blackpool City (56 mata).

Perlawanan seterusnya adalah pada hari Sabtu, 10 Mac 2012 menentang Portsmouth di Stadium Amex dan akan bertandang ke Stadium Bloomfield Road untuk bertemu dengan Blackpool City pada hari Sabtu, 17 Mac 2012.

SENARAI PEMAIN

BRIGHTON: (4-4-3) Peter Brezovan; Gonzalo Jara Reyes, Gordon Greer, Adam El-Abd, Joe Mattock; Liam Bridcutt, Alan Navarro, Abdul Razak (Will Buckley 60); Gai Assulin (Craig Noone 60), Craig Mackail-Smith (Sam Vokes 60), Ashley Barnes. Pemain simpanan yang lain: Casper Ankergren (GK), Inigo Calderon.

CARDIFF CITY: (4-4-2) David Marshall; Kevin McNaughton, Mark Hudson, Ben Turner, Andrew Taylor; Don Cowie, Peter Whittingham, Aron Gunnarsson (Filip Kiss 80), Liam Lawrence; Joe Mason, Kenny Miller. Pemain simpanan yang lain: Tom Heaton (GK), Darcy Blake, Haris Vuckic, Craig Conway.

No comments:

Post a Comment