Sunday 22 May 2011

Musim Baru Belum Mula, Tapi 'The Seagull' Dah Mula Sibuk

Belumpun hilang penat meraikan kejayaan memenangi Liga Bahagian 1 nPower Musim 2010/11, pasukan Brighton & Hove Albion telah mula menyusun strategi bagi menghadapi Liga Kejuaraan Musim 2011/12.

Pengurus pasukan, Gus Poyet telah merangka pelan latihan musim panas dan sudah mula membeli pemain-pemain baru bagi mengharungi liga yang lebih mencabar. Tidak kurang juga ramai pemain-pemain samada dari pasukan pelapis dan belia ditawarkan kontrak yang lebih menarik.

Brighton telah mendapatkan tandatangan penyerang Bristol Rovers, Will Hoskin untuk mengikat kontrak selama dua tahun menyertai 'The Seagull'. Sementara itu masa depan Glenn Murray kini bergantung kepada kelab barunya, selepas pemain penyerang itu menolak tawaran kontrak untuk menyambung sumbangannya kepada pasukan Brighton pada musim hadapan.

Brighton juga telah membuat tawaran baru kepada beberapa orang pemain dari skuad pelapis antaranya Yaser Kasim, Ryan Simmonds dan Steve Cook - tetapi James Smith serta Ryan Thomson telah dibenarkan untuk menyertai kelab lain, sementara penjaga gol Mitch Walker telah diberitahu beliau bebas untuk meninggalkan kelab ini.

Pemain pasukan belia seperti Leon Redwood, Jamie Strong dan Jordan Woodley sudahpun diberikan tawaran untuk menyertai pasukan pelapis dan akan memulakan latihan bersama pasukan pelapis dibawah kendalian Charlie Oatway dan Luke Williams.

Striker dari Norway Torbjorn Agdestein juga telah menyambung kontrak; sementara pemain skuad pelapis George Barker, Grant Hall dan Jake Forster-Caskey masih dalam kontrak pasukan Brighton.

Terbaru, Jamie Smith dan Michael Poke telah bersetuju untuk menyambung kontrak mereka bersama Brighton - penjaga gol Poke bersetuju untuk menyambung kontrak selama setahun , manakala pemain tengah Smith diberikan kontrak selama enam bulan.

Gus Poyet telah mengesahkan bahawa kempen pra-musim akan disusun sebaik mungkin bagi memberi peluang untuk beliau melihat keupayaan pemain-pemainnya.

The Seagulls akan membuka tirai perlawanan pra-musim dengan menentang Burgess Hill Town pada hari Ahad, 10 Julai 2011 jam 1 tengahari. Ini diikuti dengan perlawanan peringatan untuk John Maggs menentang Horsham di Woodside Road, Worthing pada hari Rabu 13 Julai 2011, sebelum menentang Whitehawk pada hari Jumaat 15 Julai 2011.

Perlawanan Akhir Piala Senior Sussex akan berlangsung di Amex (stadium baru menggantikan Stadium Withdean) pada hari Sabtu 26 Julai 2011, jam 3 petang, menemukan pasukan Pelapis Brighton dengan Eastbourne Borough.

Perlawanan terakhir pra-musim akan diadakan pada hari Sabtu, 30 Julai 2011 apabila Brighton akan menanti kunjungan pasukan Tottenhan Hotspur, sebelum musim baru liga bermula seminggu kemudian.

Untuk pengetahuan kalian, Stadium Komuniti American Express yang mempunyai 22,500 tempat duduk ini, akan dirasmikan sebelum perlawanan antara Brighton dan Tottenham Hotspur itu bermula.

No comments:

Post a Comment