Friday 10 February 2012

Hari Kedua Di Port Blair, India

Aku dan rakan-rakan bangun awal pagi ini kerana mengikuti jadual, kami akan melawat ke Pulau Havelock dengan menaiki bot. Tepat jam 6 pagi, kami sudah pun sampai di tempat untuk berlepas. Bot pun dah sedia menanti. Hanya menunggu masa untuk berangkat. Khabarnya perjalanan dengan menggunakan bot dari Port Blair ke Pulau Havelock mengambil masa lebih kurang dua jam.

Setika selepas bot berlepas dari jeti, kami diberikan sekotak air minuman dan sepiring kuih sebagai pengalas perut. Air mineral juga disediakan.
Walau bagaimanapun tidak lama selepas itu, juragan bot memaklumkan bahawa lawatan terpaksa dibatalkan kerana cuaca buruk. Memang sejak dari semalam lagi, cuaca di Port Blair ini hujan. Awal pagi ini juga aku terasa hujan gerimis turun sewaktu dalam perjalanan dari tempat penginapan menuju ke tempat menunggu bot.
Mahu tak mahu, kami terpaksa pulang semula ke tempat penginapan dengan perasaan hampa. Aku tak kisah apa pun kerana aku ada rancangan lain…

Lebih kurang jam 11 pagi selepas makan tengahari, aku bergerak ke Bandaraya Port Blair. Sebuah bas telah disediakan untuk membawa rombongan kami ke sana. Kelihatan berbagai jenis kenderaan di sini sama seperti yang ada di tempat kita. Tetapi bagi mereka yang ingin cepat sampai ke tempat yang dituju, motosikal roda tiga ini pasti menjadi pilihan. Selain daripada tambangnya yang agak murah, motosikal jenis ini mudah menyelit – nyelit dalam kesesakan.
Keadaan rumah kedai yang agak usang boleh kelihatan dengan banyaknya di sepanjang perjalanan.
Perkhidmatan bas yang terdapat di sini boleh dikira memenuhi permintaan penduduk tempatan kerana dari apa yang aku lihat, semua bas penuh sesak dengan penumpang.
Hampir di semua persimpangan ditempatkan sebuah pondok untuk pengawal lalulintas. Yang menariknya, kaum wanita yang diberi tugas untuk mengawal lalulintas di sini.
Oleh kerana semalam aku tak sempat untuk menukar wang, hari ini aku singgah di sebuah bank yang popular untuk mencari matawang rupee. Untuk pengetahuan kalian, RM1 adalah bersamaan RS 15 jika urusniaga penukaran wang dilakukan di bank. Tetapi jika kalian tukar wang di tempat pengurup wang nilai tukaran akan menjadi RM1 bersamaan RS 12 sahaja.
Sesudah menukar wang, aku berjalan kaki sendiri menjelajah sekitar ibukota yang berdebu dan penuh dengan tahi lembu ini. Berhampiran dengan kompleks sukan (Stadium Netaji Subhash), kelihatan sebuah tugu yang terletak di tengah-tengah jalan. Tugu ini adalah Tugu Peringatan Dr Shyama Prasad Mukherjee, seorang tokoh politik India.
Kemudian aku terjumpa dengan perkampungan orang Islam dengan sebuah masjid yang indah. Hampir keseluruhan masjid ini berwarna putih termasuk kubahnya sekali.
Selain penggunaan lori atau van, basikal roda tiga ini juga digunakan untuk mengangkut barang-barang. Lihatlah betapa seronoknya tiga pemuda ini membawa pelbagai jenis barangan bersama basikal roda tiga yang kini sudah jarang kelihatan di negara kita.
Ini pula sebuah lagi tugu peringatan yang sebetulnya aku lupa nak catatkan untuk apa ianya didirikan. Tugu ini berupa seakan sebuah menara tinggi yang pada tiap dindingnya diletakkan sebuah jam besar yang masih berfungsi. Tugu ini terletak di bulatan jalanraya berhampiran dengan pusat belibelah Bazar Aberdeen. Bercakap pasal Bazar Abeerdeen ini, kalau kalian nak beli barang, elok tengok-tengok sama harga di kedai yang lain. Jika kalian fasih berbahasa Hindi atau Tamil, kalian boleh membeli apa saja barangan dengan harga yang murah…. dapat potongan diskaun lagi! 
Berhadapan dengan Bank Pusat India, tidak jauh dari Stesen Bas Port Blair kelihatan sebuah lagi tugu peringatan iaitu Tugu Peringatan Mathma Gandhi. Tugu ini juga terletak di kawasan bulatan jalanraya di tengah-tengah Port Blair.
Di sebelah malamnya, aku sekadar pusing-pusing melihat betapa sibuknya gerai-gerai yang dihiasi dengan lampu dikunjungi oleh ramai orang. Ada juga yang menjual bunga – bunga hiasan di kaki lima sepanjang lorong atau jalan kecil terutama jalan menuju ke kuil Hindu atau Sikh.
Kedai – kedai akan terus dibuka sehingga jam 10 malam (bersamaan jam 12.30 tengahmalam waktu di Malaysia).
Setelah penat makan angin, kami pun bergerak pulang ke tempat penginapan. Dalam perjalanan sementara sampai di rumah, aku lihat ramai yang sempat melelapkan mata… penat agaknya masa merayau – rayau di sekitar Port Blair tadi.....
Akan aku sambung lagi catatan di Port Blair ini kemudian... Tunggu......

No comments:

Post a Comment