Friday 10 February 2012

Hari Pertama Di Port Blair, India

Kerana tugas dan tanggungjawab, aku sekali lagi ke luar negara. Kali ini destinasi yang aku tuju adalah Kepulauan Andaman dengan ibukotanya Port Blair. Wilayah Andaman dan Nicobar adalah salah sebuah wilayah di bawah pemerintahan negara India. Terletak di Lautan Andaman. Bersempadan dengan Myanmar di utara, Negara Thai di timur dan Indonesia di bahagian selatan.
 
Tepat jam 9 pagi waktu di Andaman (jam 11.30 pagi waktu Malaysia), aku tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkan, Port Blair. Kehadiran aku dan kawan-kawan disambut dengan hujan renyai dan awan mendung.
Aku dikhabarkan tempat penginapan kami tidak jauh dari lapangan terbang. Menaiki bas menuju ke tempat penginapan bukan sesuatu yang asing bagi aku kerana dah selalu begitu bila aku ada trip baik dalam negara atau di luar negara. Tetapi di sini lain sikit. Oleh kerana jalan rayanya agak sempit dan berlaku-liku, pemandu bas akan membunyikan hon bas dengan kerap. Telinga kami jadi bingit dan berdengung tiap kali bas melalui selekoh atau melalui tempat sempit.
 
Pemandangan di kiri kanan jalan raya tidak jauh berbeza dengan apa yang ada di Malaysia. Hutan yang menghijau serta bukti bukau menjadi tarikan. Sesekali bas akan melalui kawasan penempatan yang padat.
Papan iklan di salah sebuah persimpangan jalan menuju ke rumah penginapan.
Jalan raya agak sesak sewaktu ketibaan kami. Aku dimaklumkan bahawa keadaan sesak begini bermula dari pagi sehingga waktu petang, selepas kakitangan kerajaan pulang dari bekerja.
Banyak kedai di kawasan pusat bandar yang menawarkan pelbagai barangan dengan harga yang agak mahal. Hampir semua barang keperluan di sini dibawa masuk dari tanah besar India.
Banyak sekolah dengan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraannya.
Lebih kurang 20 minit dari lapangan terbang, rombongan tiba di tempat kediaman yang disediakan. Rumah ini terletak di atas bukit di pinggir Bandaraya Port Blair. Cuacanya nyaman dan kelihatan banyak pokok-pokok merimbun di persekitaran rumah itu.
Di ruang tamu rumah tersebut, kelihatan satu arca yang menunjukkan sekumpulan orang asli yang mendiami di kepulauan ini.
Oleh kerana penat kerana perjalanan yang jauh, tanpa disedari aku terlena di atas katil kayu yang disediakan.

No comments:

Post a Comment