Tuesday 27 March 2012

Arahan Penutupan Laluan Landasan KTMB

KUALA LUMPUR 21 Mac, 2012 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) hari ini telah mengeluarkan arahan untuk menutup landasan laluan antara Stesen Layang-Layang ke Stesen Renggam setelah sebuah keretapi kargo terkeluar dari landasannya di KM693.75 pada pagi tadi. Insiden ini merupakan kejadian kedua yang telah berlaku dan berikutan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menyediakan bas untuk menghantar penumpang-penumpang ke destinasi mereka di bahagian selatan.

Pada 16 Mac 2012 yang lalu, kejadian yang sama telah berlaku di KM692.25 di antara Stesen Layang-layang dan Stesen Renggam. Sehubungan itu, S.P.A.D. telah mengambil tindakan mengeluarkan arahan untuk menutup laluan landasan di antara Stesen Layang-layang dan Stesen Renggam. Keputusan yang telah diambil ini adalah demi keselamatan para penumpang yang juga terdiri daripada rakyat Malaysia sendiri dan pelancong-pelancong warga asing.

S.P.A.D. telah mengarahkan untuk menutup laluan landasan ini buat sementara untuk memberi masa yang mencukupi kepada pengendali iaitu KTMB untuk melakukan kerja pembaikan yang sewajarnya, bagi memenuhi syarat-syarat berkaitan tahap keselamatan dengan pemantauan oleh pihak S.P.A.D.


S.P.A.D. adalah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan, antara lain untuk menyediakan pengangkutan awam darat yang selamat untuk digunakan. Ini termasuklah meningkatkan keyakinan para pengguna samada dari kalangan rakyat Malaysia atau pelancong asing di dalam aspek keselamatan pengangkutan awam darat. Ini sekaligus akan memastikan imej negara kita akan terpelihara, terutamanya di kalangan pelancong asing.

No comments:

Post a Comment