Saturday 24 September 2011

Brighton..3 Leeds United..3

Brighton gagal untuk mengekalkan prestasi baik sepanjang perlawanan dan memberikan Leeds United gol penyamaan dalam minit akhir bagi membolehkan perlawanan berkesudahan dengan seri 3 - 3, dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Amex, awal pagi tadi (24 September 2011).

Gabungan pemain berpengalaman Leeds United menyerang sejak dari wisel permulaan dan mendapatkan gol pada minit ke 18 menerusi Andrew Keogh dan Ross McCormack pada minit ke 23.

Brighton yang ketinggalan 0 - 2 pada akhir separuh masa pertama, mula merapatkan jurang pada minit ke 47 apabila Craig Mackail-Smith menjaringkan gol menerusi satu sepakan leret menjadikan kedudukan 1 - 2.

Semangat pasukan Brighton kembali melonjak apabila Ashley Barnes menyamakan kedudukan 2 - 2 menerusi sepakan penalti pada minit ke 60 setelah Craig Mackail-Smith dijatuhkan oleh pertahanan Leeds United dalam kotak penalti. Sedikit harapan untuk mendapatkan tiga maa penuh diberikan oleh Craig Mackail-Smith menerusi gol pada minit ke 84 yang membawa Brighton mendahului 3 - 2.

Walau bagaimanapun, akibat kerapuhan benteng pertahanan, Leeds United akhirnya menyamakan kedudukan 3 - 3 pada minit ke 90 + 2 menerusi Ross McCormack.

Pengurus Brighton Gus Poyet membuat lima penukaran pemain dari kesebelasan utama yang tewas 1 - 2 kepada Liverpool dalam perlawanan Pusingan Ketiga Piala Carling yang berlangsung pada hari hari Rabu lepas, yang mana turut menyenaraikan Kazenga LuaLua dalam kesebelasan utama. Pemain sayap Brighton itu mengambil tempat Will Buckley yang mengalami kecederaan.

Marcos Painter kembali mengambil tempatnya sebagai pemain pertahanan kiri setelah menjalani penggantungan satu perlawanan, sementara Lewis Dunk ke pertahanan tengah; dengan Romain Vincelot dan Steve Cook pula diketepikan.

Gary Dicker dan Ashley Barnes juga kembali, mengambil tempat Alan Navarro dan Matt Sparrow.

Sekali lagi Stadium Amex dibanjiri dengan peminat bolasepak apabila seramai 20,646 orang penonton telah hadir menyaksikan perlawanan yang sengit ini, di mana 2,361 penonton adalah penyokong pasukan Leeds United.

Dengan keputusan seri ini, Brighton kekal di tangga ketiga liga dengan mengutip 17 mata daripada lapan perlawanan. Southampton kekal sebagai peneraju liga apabila mengumpulkan 18 mata daripada tujuh perlawanan diikuti Middlesbrough di tangga kedua dengan 17 mata daripada tujuh perlawanan dan mempunyai jaringan gol yang lebih daripada pasukan Brighton. Lain - lain perlawanan Liga Kejuaraan nPower akan berlangsung hari ini dan esok.

Perlawanan liga seterusnya adalah pada 27 September 2011 juga di Stadium Amex, menentang pasukan Crystal Palace.

TEAMS

Albion: (4-4-2) Ankergren; Calderon, Greer, Dunk, Painter; Noone (Vicente 46), Bridcutt, Dicker, LuaLua (Hoskins 86); Barnes, Mackail-Smith (Vincelot 90). Pemain simpanan yang lain: Brezovan (GK), Navarro.

No comments:

Post a Comment