Tuesday 20 September 2011

Landasan Cawangan Pasir Gudang

Salah satu cawangan landasan keretapi yang terdapat di Negeri Johor adalah Landasan Cawangan Pasir Gudang.

Sepanjang riwayatnya, landasan ini banyak dilalui oleh tren - tren barang. Kurang sekali tren - tren penumpang yang beroperasi untuk jangkamasa panjang di landasan cawangan ini.

Kerja-kerja menyiapkan landasan Keretapi dari Kempas Bahru ke Pasir Gudang ini mengambil masa lebih tiga tahun setengah diselenggarakan sepenuhnya oleh kakitangan Keretapi Tanah Melayu.

Projek yang menelan belanja lebih RM76.5 juta ini telah dilancarkan untuk memulakan perkhidmatan barang-barang pada 31 Januari 1983. (Lihat gambar di bawah).

Pembinaan cawangan Pasir Gudang ini adalah untuk memberi perkhidmatan rel ke Pelabuhan Pasir Gudang supaya Keretapi Tanah Melayu dapat memainkan peranan penting dalam memajukan pelabuhan tersebut.

Projek ini pada keseluruhannya meliputi pembinaan sambungan rel sepanjang 32 km dari Kempas Baharu ke Pasir Gudang, 54 pembentong, 11 jambatan, 10 jalan bawah jalan, tujuh laluan atas dan satu terowong ARMCO.

Selain daripada itu, cawangan ini mempunyai tiga stesen iaitu Kempas Baharu, Plentong dan Pasir Gudang di samping sebuah yad atur di Pasir Gudang, sisian-sisian perkhidmatan, suwa dan sambungan rel sepanjang 3.2 km dari Pasir Gudang ke Malaysian Shipyard and Engineering (MSE).

Antara sisian - sisian perkhidmatan yang dimaksudkan adalah Sisian Evergreen, FPM, Gold Coin, ICI, Max Agr, MSE, Peladang Kimia, Petronas dan beberapa sisian lain.

No comments:

Post a Comment