Wednesday 21 March 2012

Brighton..2 Derby County..0


Buat kali pertama musim ini, Brighton melonjak ke tangga keempat dalam nPower Liga Kejuaraan setelah menang 2-0 mengatasi Derby County di Stadium Amex, awal pagi tadi (20 Mac 2012).

Gus Poyet melihat akan reaksi positif daripada pemainnya setelah mengalami kekalahan di Blackpool - dan beliau memperolehi apa yang dihajatinya apabila Inigo Calderon dan Ashley Barnes meledak gol untuk mengekang kemaraan Derby.

Berbekalkan beberapa perubahan pemain daripada kesebelasan yang tewas di Blackpool pada hari Sabtu lepas, Brighton memulakan sepak mula dengan bergaya dan penuh bersemangat.

Inigo Calderon dan Lewis Dunk masing-masing diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak Februari 2012 mengambil tempat Adam El-Abd dan Gonzalo Jara Reyes di bahagian pertahanan. Sementara Kazenga LuaLua mengambil tempat Craig Noone dan Sam Vokes menerajui jentera serangan mengambil tempat Craig Mackail-Smith. Vicente Rodriguez pula diturunkan mengambil tempat Abdul Razak di posisi sayap kanan.

Brighton memulakan jaringan pada minit ke-10 menerusi tandukan Inigo Calderon, hasil dari sepakan sudut yang dilakukan oleh Vicente Rodriguez. Gol kedua menyusul pada minit  ke-66 menerusi Ashley Barnes yang merembat bola dari dalam petak penalti.

Persembahan yang menyakinkan ini telah menghiburkan seramai 18,412 orang penonton yang hadir. Turut serta di Stadium Amex adalah seramai 768 orang penyokong pasukan Derby County.

Dengan lain-lain keputusan semuanya menyebelahi Brighton, 'The Seagulls' melonjak dari tangga kesembilan ke tangga keempat liga dan menyaksikan impian untuk bermain dalam 'Play-off' semakin menjadi kenyataan. Southampton terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu nPower Liga Kejuaraan dengan mengumpul 75 mata daripada 38 perlawanan. Ini diikuti Reading (70 mata), West Ham United (68 mata) dan Brighton (61 mata). Mengikuti rapat Brighton adalah pasukan Middlesbrough (60 mata), Birmingham City dan Blackpool City masing-masing dengan 59 mata.

Berikut adalah baki perlawanan yang melibatkan pasukan Brighton:

a. Sabtu 24 Mac 2012 melawan Nottingham Forest di City Ground.
b. Sabtu 31 Mac 2012 melawan Middlesbrough di Stadium Amex.
c. Jumaat 06 Apr 2012 melawan Burnley di Turf Moor.
d. Selasa 10 Apr 2012 melawan Reading di Stadium Amex.
e. Sabtu 14 Apr 2012 melawan West Ham United di The Boleyn Ground (nama lama Upton Park).
f. Selasa 17 Apr 2012 melawan Watford di Vicarage Road.
g. Sabtu 21 Apr 2012 melawan Birmingham City di Stadium Amex.
h. Sabtu 28 Apr 2012 melawan Barnsley di Stadium Oakwell.

SENARAI PEMAIN
Brighton: (4-4-2) Peter Brezovan; Inigo Calderon, Gordon Greer, Lewis Dunk, Joe Mattock; Liam Bridcutt, Alan Navarro, Rodrigues Vicente (Abdul Razak 83), Kazenga LuaLua (Craig Noone 81); Ashley Barnes, Sam Vokes (Craig Mackail-Smith 61). pemain simpanan yang lain: Casper Ankergren (GK), Romain Vincelot.

Derby County: (4-4-2) Frank Fielding; Tom Naylor, Jason Shackell, Jake Buxton, Gareth Roberts; Paul Green, Jeff Hendrick, James Bailey (Ryan Connolly 66), Steve Davies (Callum Ball 81); Nathan Tyson (Ben Davies 69), Theo Robinson. Pemain simpanan yang lain: James Severn (GK), Tom Carroll.

No comments:

Post a Comment